WASHINGTON: Bank Dunia menggantung bantuan kepada Sudan selepas pihak tentera negara itu melakukan rampasan kuasa terhadap kerajaan awam.

Kesatuan Afrika (AU) juga menggantung Sudan daripada blok itu kerana tindakan tidak berperlembagaan itu.

Dalam pada itu, Amerika Syarikat turut membekukan sejumlah AS$700 juta (RM2.9 bilion) dalam bentuk bantuan.

Pemotongan bantuan secara mengejut ini berkemungkinan membawa kesan buruk kepada ekonomi Sudan yang terjejas, ketika mana ia berada dalam fasa pemulihan.

Pada Mac, Sudan dapat mengakses berbilion dolar dalam bentuk geran daripada Bank Dunia buat kali pertama dalam hampir 30 tahun, selepas ia menjelaskan tunggakannya.

Bank Dunia juga menyumbang kira-kira AS$3 bilion (RM12 bilion) bantuan kepada Sudan bagi pertanian, pengangkutan, penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Langkah Bank Dunia dan AU ini memberi tekanan berterusan kepada individu yang mengetuai rampasan, Jeneral Abdel Fattah Burhan - untuk mengembalikan semula kerajaan awam.

Jeneral Burhan juga bertanggungjawab ke atas perjanjian perkongsian kuasa, dan berkata rampasan kuasa itu diperlukan untuk mengelakkan "perang saudara".

Beliau juga memaklumkan, Sudan akan terus bergerak ke arah demokrasi dan pilihan raya pada 2023.