KUALA LUMPUR: Konsep 'Open Government Partnership' (OGP) merupakan satu bentuk kerjasama yang baik dalam menguruskan bantuan kepada mangsa bencana.

Persefahaman antara kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta sukarelawan akan memudahkan segala urusan dan dapat membantu mangsa dengan cepat.

Menurut Koordinator Operasi Banjero Squad, Mohd Azraie Azahari, sikap kerajaan terhadap NGO dan sukarelawan juga penting dalam menguruskan bencana.

Jelas Azraie, mana-mana pihak sama ada kerajaan atau NGO tidak boleh ada sekatan yang akan menyukarkan usaha untuk membantu mangsa bencana.

"Kita faham kekurangan kerajaan dan kerajaan faham kelebihan kita, jadi apabila dua keadaan ini masing-masing faham memahami, yang penting jangan ada restrictions (kekangan).

"Kalau kita dapat buang restrictions ini, ada orang yang hanya mahu kerajaan sahaja yang bantu mangsa banjir dan ada pulak NGO yang langsung tidak mahu terlibat dengan kerajaan.

"Ini merupakan halangan yang kita sendiri bina. Kalau kita yang buat border itu susahlah bantuan yang mahu disampaikan di kawasan-kawasan yang ditimpa bencana.

"Akhirnya dengan sikap kita ini, yang jadi mangsa adalah mangsa banjir itu sendiri," katanya.

Azraie menegaskan perang merebut 'tanda nama' dalam menghulurkan bantuan merupakan satu masalah besar dalam menguruskan bantuan kepada mangsa bencana.


Agenda AWANI: #Kitajagakita | Solidariti wira banjir

Sementara itu, sukarelawan, Siti Hafizah Mohd Zahrom berpendapat konsep OGP sering gagal kerana tiadanya koordinasi komunikasi yang sempurna dengan kerajaan dan NGO.

Jelas Siti Hafizah, kegagalan koordinasi komunikasi menyebabkan ada bantuan yang disalurkan terkumpul di satu tempat tanpa sempat diagihkan kepada mangsa.

"Ada NGO yang tidak mendapat sokongan kerajaan atau tidak tahu macam mana cara untuk pergi kepada agensi-agensi kerajaan yang boleh mengkoordinasi.

"Perkara ini akan menjadi masalah kerana ada berlaku bantuan yang diagihkan terkumpul di satu tempat tetapi tidak sampai kepada mangsa.

"Itu yang kita boleh nampak masalahnya bila kita pergi ke lapangan, bantuan yang dikatakan tidak sampai tetapi bila kita sampai di lapangan kita lihat bantuan yang bertimbun, ada makanan yang dah basi disebabkan tidak ada komunikasi.

"Jadi perkara itu yang yang kita boleh perbaiki untuk masa depan dalam usaha kita menjayakan konsep OGP ini," katanya.

Azraie dan Siti Hafizah sependapat pengakalan data dan teknologi diperlukan bagi mengurus dan menggerakkan bantuan kepada mangsa bencana.

Kedua-dua mereka berkata demikian dalam program Agenda AWANI yang membincangkan tentang solidariti wira banjir.