MIRI: Dalam era global dan digital, Sarawak boleh dikatakan satu-satunya negeri yang mengamalkan konsep Ta’ayush secara harmoni dan bersahaja berlandaskan prinsip keharmonian diamalkan di negeri itu.

Konsep Ta’ayush yang diterbitkan dari Model Piagam Madinah, membawa bermaksud hidup kebersamaan tanpa prejudis dan syak wasangka apalagi dalam hal kepercayaan beragama.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata atas dasar itu rakyat Sarawak amatlah ditegah daripada menyakiti hati agama lain.

“Janganlah membanding dan merendah-rendahkan kepercayaan orang lain yang tidak seagama agar Sarawak tetap kekal sebagai model masyarakat yang saling bekerjasama dan hormat menghormati di antara satu sama lain.

“Marilah kita gunakan kesempatan untuk menyambut Maulidur Rasul ini dengan melipatgandakan usaha dan ikhtiar agar azam kita kita kearah kemajuan dapat dicapai dan segala permasalahan dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui teks ucapan yang dibacakan Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak 1444 Hijriah di sini pada Isnin.

Acara kemuncak majlis tersebut disemarakkan dengan perhimpunan dan perarakan Maulidur Rasul yang akan disertai 145 kontinjen pelbagai kementerian, agensi  serta persatuan terdiri daripada lebih 7,500 orang peserta.

Perarakan Sambutan Maulidur Rasul sejauh 3.6 kilometer bermula dari Stadium Miri itu diketuai oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Tambah Abang Jo, saban tahun umat Islam  di Sarawak telah mengorak langkah untuk membentuk komuniti warga yang berilmu pengetahuan.

Jelasnya ramai generasi muda Islam di negeri itu telah berkecimpung dalam pelbagai bidang sehingga mencapai kejayaan di peringkat kebangsaan malah antarabangsa.

“Tanggungjawab kita bersama ialah untuk berdoa dan menghindarkan diri kita daripada sikap-sikap negatif seperti tamak, rasuah, pecah amanah, hilang sabar dan sebagainya.

“Apa yang lebih penting adalah kita menggunakan peluang yang ada untuk terus mempertingkatkan daya kreativiti kita untuk memajukan agama, bangsa, negeri dan negara kita,” ujarnya lanjut.