ALOR SETAR: Kerajaan negeri telah memanggil penganjur dan akan menyiasat bagaimana konsert hiburan diadakan tidak jauh dari pekarangan Masjid Zahir, di sini, pada Jumaat lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad berkata, pihaknya dimaklumkan, aktiviti itu mendapat kebenaran daripada pihak berkaitan, namun, acara hiburan tersebut berlangsung kurang sopan.

Sehubungan itu, Najmi menyatakan rasa kesal dan telah mengarahkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) melakukan siasatan kerana tidak sepatutnya konsert seperti berkenaan dibuat di dataran tersebut kerana ia berhadapan masjid.

“Kita tidak menghalang konsert diadakan tetapi kandungan itu yang menyebabkan dianggap tidak bermoral dengan muda-mudi dengan gaya yang begitu melampau… makna tidak ada adab Islam dan berlaku pula di depan masjid.

“Saya sudah minta Jabatan Hal EhwaI Islam buat penyiasatan tentang perkara ini,” kata beliau kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Negeri Kedah, Datuk Najmi Ahmad.

Najmi berkata demikian sebagai mengulas penularan rakaman video konsert memaparkan aksi penonton melompat dan menari ketika persembahan muzik dianjurkan.

Acara itu mengundang rasa kurang senang orang ramai, khususnya penduduk beragama Islam memandangkan ia diadakan tidak jauh dari Masjid Zahir.

Beliau turut dimaklumkan oleh Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Zaid Ahmad bahawa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) tidak mengeluarkan lesen untuk penganjuran konsert itu sementara, lesen hiburan pula terletak di bawah bidang kuasa Pejabat Daerah Kota Setar.

Sementara itu, Najmi mengingatkan pihak berkuasa supaya lebih berhati-hati dalam memberi kelulusan terhadap sebarang acara dan memantau program yang dianjurkan.

“Bila mereka mengemukakan permohonan, ia berdasarkan kepada permohonan itu tetapi yang berlaku di sebaliknya, dia (pihak berkuasa) pun tidak tahu… itu yang yang menjadi persoalan.

“Jadi penganjur harus sensitif dan juga perlu mengambil kira pandangan masyarakat dan sebagainya,” tegas Najmi lagi.