Kontrak perjanjian antara Tabung Haji (TH) dan empat syarikat penghantaran bagasi bagi musim haji kini memasuki tahun terakhir setelah dilanjutkan setahun di bawah perjanjian 2+1 (dua tahun tambah satu).

Pengurus Perkhidmatan Luar Tabung Haji bagi musim haji 1439H Akmal Abdul Rahim berkata kontrak dengan empat syarikat pengurusan penghantaran itu mendapat lanjutan setahun setelah TH berpuas hati dengan khidmat yang disediakan dua tahun sebelumnya.

"Setakat ini TH amat berpuas hati dengan khidmat yang diberikan kepada jemaah haji sepanjang dua musim yang lepas. Justeru, TH mengambil keputusan untuk memberi lanjutan satu tahun kepada mereka," katanya semasa ditemui media di sini, hari ini.

Bagi khidmat bagasi, beliau berkata empat syarikat yang diberi lanjutan kontrak untuk tahun ini iaitu Pos Malaysia Bhd, Shah Cargo, Koperasi Tabung Haji Logistics dan Nation Wide Express.

Untuk perkhidmatan penghantaran barang ke tanah air, harga yang dikenakan kepada jemaah sudah ditetapkan sebelum pasukan-pasukan ini berlepas ke tanah suci, di mana harga bagi sebotol air zam zam 10 liter adalah SR130 bagi semenanjung dan SR150 bagi Sabah dan Sarawak termasuk penghantaran.

Bagi penghantaran barang pula, caj yang dikenakan adalah SR16 bagi sekilogram bagi semenanjung manakala SR20 sekilogram bagi Sabah dan Sarawak.

"Kita sememangnya menggalakkan jemaah haji untuk pos barang mereka (melalui khidmat penghantaran TH) kerana kalau mereka bawa bersama menaiki kapal terbang, caj yang akan dikenakan adalah lebih tinggi (sekiranya terlebih had berat bagasi)," katanya.

Mengenai rungutan sesetengah jemaah berkenaan kos penghantaran sekilogram yang didakwa agak mahal, Akmal berkata harga itu sebenarnya amat berpatutan berbanding caj lebihan berat bagasi yang perlu dibayar di lapangan terbang.

"Harga itu (kos sekilogram penghantaran) dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak semasa di Malaysia lagi. Kita juga harus melihat kepada kemampuan syarikat (penghantaran) mengenai kos-kos operasi mereka di sini," katanya.

Berdasarkan prestasi mereka pada tahun ini, Akmal berkata keempat-empat syarikat ini akan dinilai semula untuk diputuskan sama ada mereka akan ditawarkan kontrak baharu pada tahun hadapan atau sebaliknya.

Unit Khidmat Luar merangkumi lima bidang, iaitu khidmat penghantaran dan pengurusan bagasi, khidmat katering, kafeteria, khidmat dobi dan khidmat telekomunikasi i-Talk daripada Telekom Malaysia Bhd.

"Fungsi Unit Khidmat Luar ini untuk memantau kesemua lima bidang ini supaya prosedur operasi standard (SOP) khidmat-khidmat ini dipatuhi dari segi keperluan pekerja, kebersihan, tanda harga (kafeteria).

"Kita akan memantau untuk memastikan segala apa yang dijanjikan semasa menandatangani perjanjian di tanah air tempoh hari dapat dipatuhi di samping dapat memberi khidmat yang terbaik kepada para jemaah," katanya.

Beliau berkata pasukan pemantau Unit Khidmat Luar ini terbahagi kepada dua, di Madinah dan Mekah, dengan dua pemantau bagi setiap pasukan.

"Kita pastikan bahawa pemantauan dibuat sekurang-kurangnya tiga kali iaitu dua kali sebelum wukuf dan sekali selepas wukuf.

"Kita juga akan pastikan bahawa perkhidmatan-perkhidmatan ini akan terus berjalan sebaik sahaja jemaah tiba di Madinah atau Makkah," katanya.

-- BERNAMA