Kontrak penjawat awam secara lantikan politik terpaksa ditamatkan - PM

Hafiz Marzukhi
Mei 16, 2018 09:38 MYT
Kontrak penjawat kerajaan yang diambil melalui lantikan poltik akan ditamatkan perkhidmatan mereka, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
Kontrak perkhidmatan penjawat kerajaan yang diambil melalui lantikan politik terpaksa ditamatkan.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ini kerana ramai antara mereka merupakan anggota yang dilantik pimpinan kerajaan sebelum ini dan merupakan satu pembaziran.
"Hasrat kita adalah untuk menurunkan perbelanjaan kerajaan. Terlalu ramai pegawai kontrak.
"Dalam kalangan mereka, ada keperluan pentadbiran. Ada juga lantikan politik. Bagi lantikan politik kita akan tamatkan semuanya," katanya dalam satu sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana pada petang ini.
Walau bagaimanapun, tegas Tun Mahathir, pekerja kontrak yang bergaji rendah seperti pemandu akan diselamatkan.
"Bagi kes seperti mereka, kita akan selamatkan dengan memberi jawatan lain yang sesuai dengan kelayakan mereka," katanya
#kerajaan #kontrak #lantikan politik #Mahathir Mohamad #menteri #penjawat awam #Perdana Menteri #politik #Tun Dr Mahathir Mohamad