IPOH: Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan memberi suapan berjumlah RM14,000 kepada penjawat awam, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Asdi Ali, 42 tahun, yang pernah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan Johor Bharu sebelum ini, membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa memberi suapan wang tunai RM6,000 melalui mesin deposit tunai ke akaun milik penolong jurutera, Hairulnizam Sarudin, 44 tahun.

Perbuatan itu sebagai dorongan mendapatkan kebenaran dan kelulusan tambahan kerja bagi kerja-kerja pembaikan lapis kalis air di blok B dan C asrama perempuan di Darul Quran Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, dia didakwa memberi suapan RM5,750 dan RM2,250 kepada individu sama sebagai dorongan mendapatkan kebenaran dan kelulusan tambahan kerja bagi kerja-kerja pembaikan kerosakan di kediaman kelas blok kakitangan dan pegawai di Maktab Polis Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor dan kerja-kerja penyelenggaraan Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor.

Ketiga-ketiga perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank cawangan Ipoh Garden pada 6 dan 20 Disember 2019.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Rasuah | Kontraktor didakwa beri suapan kepada penjawat awam

Pegawai Pendakwa SPRM, Fadhli Ab Wahab menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin tetapi Asdi yang diwakili peguam, Nazrin Sulaiman memohon jaminan yang ditetapkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin digunakan untuk kes itu.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan baharu sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk disebut semula pada 26 Januari ini.