SHAH ALAM: Ketika ramai pihak mencari punca yang berlaku banjir besar di Lembah Klang, timbul lagi satu dakwaan berhubung isu projek pembangunan perumahan dan projek campuran di enam kolam takungan banjir di Kuala Lumpur.

Ia berikutan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 2 yang kembali tular di media sosial mendedahkan kelulusan itu diberikan dari tahun 2015 hingga 2020 walaupun dalam tempoh yang sama ibu negara mengalami banjir kilat sebanyak 48 kali.

Pendedahan tersebut telah mencetuskan kemarahan ramai kerana ia bukan sahaja menjejaskan kapasiti kolam takungan banjir, malah merencatkan keseluruhan sistem operasi tebatan banjir, sekali gus risiko berlakunya bencana banjir lebih kerap di Kuala Lumpur.

Kolam yang terlibat ialah Kolam Batu, Kolam Nanyang, Kolam Delima, Kolam Taman Wahyu, Batu 4 ½ dan Taman Desa.

Justeru, ramai pihak menggesa supaya kertas siasatan dibuka terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana didakwa telah meluluskan 943 projek yang melanggar dan tidak selaras dengan pelan asal jabatan.

Ini termasuk Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abd Aziz yang turut mendesak supaya satu siasatan menyeluruh dijalankan.

BACA: Kolam takungan banjir jadi projek perumahan mega 

Menurutnya, apabila kolam takungan ditukar fungsi, air tidak dapat ditakungkan sehingga menyebabkan ia melimpah ke kawasan perumahan serta bandar, seterusnya mendatangkan banyak kesan terhadap alam sekitar, antaranya banjir kilat.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dalam kenyataannya turut memaklumkan, seminggu selepas hujan lebat berpanjangan pada 18 Disember 2021, Kuala Lumpur mengalami banjir teruk melibatkan 12 kawasan.

Beliau berkata, ia menyebabkan lebih 90 lokasi kejadian tanah runtuh dan hakisan tanah.

Kolam takungan banjir di Kuala Lumpur yang diluluskan bagi tujuan pembangunan. Sumber: Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. - Foto Sinar Harian

Tambah Hannah, tukar guna tanah bukan sahaja menjejaskan kapasiti kolam takungan banjir, malah merencatkan keseluruhan sistem operasi banjir Kuala Lumpur.

Sabtu lepas, negara telah dikejutkan dengan kejadian banjir kilat yang luar biasa sehingga menenggelamkan beberapa tempat sekitar Lembah Klang, terutamanya di bahagian Selangor dan Kuala Lumpur.

Tragedi banjir yang tidak diduga itu menyebabkan banyak pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menampung ribuan mangsa di negeri berkenaan.

Akibat daripada tragedi itu juga, puluhan mangsa turut terkorban.


Artikel asal di Sinar Harian