KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham hari ini mempersoal tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah memulakan siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali berhubung dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya, berikutan laporan yang dibuat .

Menurut Koo Ham, sesuatu penyiasatan hanya boleh dimulakan sekiranya wujud syak wasangka atau maklumat yang diterima bahawa suatu kesalahan telah dilakukan.

Bagaimanapun, tegas beliau, sekiranya hanya berdasarkan laporan yang dibuat kepada pihak berkuasa semata-mata tanpa syak wasangka, agensi berkenaan telah melakukan satu kesalahan.

"Ujian untuk memulakan sesuatu penyiasatan ialah ‘jika wujud syak wasangka yang munasabah atau maklumat yang boleh dipercayai telah diterima bahawa suatu kesalahan telah dilakukan’ dan bukannya 'apabila suatu laporan telah dibuat kepada pihak berkuasa.

"SPRM telah melakukan satu kesalahan mengugut Badan Kehakiman jika ia tidak mempunyai syak wasangka yang munasabah atau tidak menerima sebarang maklumat yang boleh dipercayai bahawa suatu kesalahan telah dilakukan apabila ia memulakan penyiasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali,” jelas Koo Ham dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Kenyataan Koo Ham itu juga dibuat sebagai jurucakap bagi Ahli-Ahli Parlimen DAP mengenai undang-undang dan Parlimen.

Tambah Koo Ham, pengumuman secara terbuka oleh SPRM mengenai siasatan terhadap Mohd Nazlan juga menjejaskan kedudukan Badan Kehakiman.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Beruas itu menegaskan kekhuatiran beliau dengan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berhubung siasatan itu.

"Pengumuman secara terbuka penyiasatan terhadap seseorang hakim menjejaskan kedudukan Badan Kehakiman. Tindakan terhadap seseorang hakim mestilah berdasarkan bukti konkrit yang dikumpul dan diserahkan kepada pihak yang berkenaan untuk diambil tindakan di bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan

"Saya berasa khuatir dengan kenyataan Tan Sri Azam Baki bahawa siasatan telah dimulakan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan bin Mohd Ghazali semata-mata kerana aduan telah dibuat kepada SPRM.

"Pandangan beliau jelas salah dari segi undang-undang. Undang-undang membenarkan sesuatu penyiasatan dimulakan apabila terdapat syak wasangka yang munasabah atau maklumat yang boleh dipercayai telah diterima bahawa suatu kesalahan telah dilakukan," jelasnya lagi.

Tegasnya, SPRM dan polis tidak boleh memulakan sesuatu penyiasatan berdasarkan suatu laporan atau aduan yang tidak berasas.

Koo Ham berkata, Seksyen 29 Akta SPRM 2009 memperuntukkan kuasa kepada SPRM untuk menyiasat jika mempunyai sebab untuk mengesyaki sesuatu kesalahan dilakukan.

"Seksyen 29 (3) menyatakan seperti berikut, ‘jika seseorang pegawai suruhanjaya mempunyai sebab untuk mengesyaki pelakuan suatu kesalahan di bawah akta ini berikutan suatu aduan yang dibuat... atau maklumat diterima selainnya olehnya, dia hendaklah menyebabkan penyiasatan dibuat...’

"Jelas sekali seseorang pegawai SPRM tidak boleh memulakan siasatan semata-mata kerana laporan telah dibuat tetapi syarat bahawa terdapat sebab atau maklumat yang berasas mesti dipatuhi terlebih dahulu," tambah beliau.

Raja Petra perlu buat laporan

Mengulas mengenai laporan yang diterima SPRM, Koo Ham berkata, sekiranya laporan terbabit dibuat berdasarkan tulisan Raja Petra Kamaruddin dalam sebuah portal Malaysia Today baru-baru ini, kredibiliti penulis blog itu diragui.

Bahkan, kata beliau, bukti-bukti untuk mengesahkan dakwaan Raja Petra juga perlu ditampilkan.

"Jika laporan dibuat kepada SPRM berdasarkan tulisan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin yang diragui kredibilitinya dalam portal Malaysia Today, laporan tersebut adalah khabar angin semata- mata.

"Raja Petra Kamaruddin mesti tampil membuat laporan dan memberikan bukti-bukti untuk mengesahkan dakwaannya. Jika Raja Petra Kamaruddin tidak berani tampil membuat laporan, beliau adalah seorang yang tiada kredibiliti.

"Jika SPRM mengikut membuta tuli mendakwa orang yang kredibiliti diragui, ia menunjukkan dengan jelas kekurangan profesionalisme dan juga ketidakcekapan SPRM," jelasnya lagi.

Justeru, Koo Ham menggesa SPRM dapat menunjukkan syak wasangka yang munasabah atau bukti yang boleh dipercayai berhubung siasatan itu.

Sekiranya tiada, tambahnya, tindakan mesti diambil terhadap Azam kerana melakukan kesalahan mengugut Badan Kehakiman dengan siasatan berkenaan.

"Melainkan ketua SPRM, Tan Sri Azam Baki boleh menunjukkan terdapat syak wasangka yang munasabah atau bukti yang boleh dipercayai bahawa Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah melakukan kesalahan, beliau harus menghentikan siasatan terhadap Datuk Mohd Nazlan bin Mohd Ghazali serta-merta.

"Jika tidak, tindakan mesti diambil terhadap beliau kerana melakukan kesalahan mengugut Badan Kehakiman. Pengumuman secara terbuka tentang penyiasatan terhadap seseorang hakim menjejaskan kedudukan Badan Kehakiman.

"Tindakan terhadap seseorang hakim mestilah berdasarkan bukti konkrit yang dikumpul dan diserahkan kepada pihak yang berkenaan untuk tindakan diambil di bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan yang mempunyai peruntukan-peruntukan tentang tempoh perkhidmatan, salah laku dan penyingkiran seseorang hakim," katanya lagi.