KUALA LUMPUR:Sebuah syarikat tempatan, Asia Harvest Agro menawarkan pakej korban lembu wagyu sempena Hari Raya Aidilahda yang mencecah RM29,999 bagi satu bahagian.

Pengarah Urusan syarikat tersebut, Najib Jalil berkata, pakej itu telah dilancarkan semalam selepas pihaknya mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk pakar agama.

Kata beliau, pihaknya akui menerima kecaman daripada pelbagai pihak terutama dalam kalangan warga maya selepas pelancaran tersebut.

 
Sumber Facebook Harvestfreshproducemaeps

"Pertama sekali kecaman yang diterima apabila mereka mempertikaikan tujuan sedekah dan kenapa tidak melakukan penyembelihan biasa yang boleh mengorbankan lebih banyak lembu.

"Bagaimanapun, ada juga respon daripada orang kenamaan dan persatuan-persatuan yang ingin menyertai korban ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.

BACA: Apa itu lembu Wagyu?

Jelas Najib yang telah menjadi pembekal wagyu dari Australia dan Jepun, syarikatnya turut melakukan pakej korban lembu biasa menerusi kerjasama dengan beberapa pihak.

Katanya, pakej itu telah dilakukan sebelum ini dengan melibatkan pakej paling tinggi adalah lembu sado.

Najib Jalil menunjukan daging lembu wagyu yang telah dibungkus.

"Kali ini saya terpanggil untuk membuat lembu wagyu dan telah pun mendapatkan kelulusan daripada rumah sembelih halal yang diiktiraf oleh Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) di Jepun.

"Tujuannya adalah menyediakan platform kepada orang yang berkemampuan berkorban dengan lembu terbaik di dunia ini," katanya.

Menurut Najib, proses penyembelihan lembu wagyu seberat 800 kilogram akan dilakukan pada hari raya pertama hingga ketiga Aidiladha seterusnya dalam tempoh 10 hingga 15 hari akan diterbangkan ke tanah air.

Daging lembu wagyu dari Jepun

"Ada prosedur untuk simpan (daging) tapi dalam masa 10 hingga 15 hari dalam bulan Zulhijjah daging ini akan sampai ke Malaysia.

"Kami tidak guna kapal sebab nilai daging mahal jadi kita guna pesawat," katanya yang menyasarkan kira-kira lima ekor lembu wagyu akan dikorbankan pada tahun ini.