KERAJAAN Korea Selatan meluluskan pindaan akta bagi membenarkan ahli kumpulan K-pop terkemuka seperti BTS untuk melanjutkan usia maksimum perkhidmatan ketenteraan wajib kepada 30 tahun.

Negara itu mewajibkan semua rakyat lelaki berusia lingkungan 18 hingga 28 tahun yang berkemampuan secara fizikal untuk berkhidmat dalam angkatan tentera selama dua tahun, sebahagian daripada program mempertahankan negara daripada ancaman Korea Utara.

Pindaan kepada Akta Khidmat Tentera itu bertujuan untuk memberi kemudahan kepada bintang mega K-pop terkemuka dunia yang banyak menyumbang kepada kebudayaan dan ekonomi negara.

Sebelum ini, Korea Selatan membenarkan segelintir pelajar terpilih untuk menangguhkan perkhidmatan sehingga 28 tahun, selain memberi kemudahan yang sama kepada penghibur berprofil tinggi dan atlet negara seperti peraih pingat emas Sukan Olimpik, termasuk pemain serangan Tottenham Hotspur, Son Heung-min.

Masih belum ada bintang K-pop yang diberikan pengecualian tersebut, namun pindaan akta terbaharu itu akan memberikan kemudahan kepada penghibur yang dipilih khas oleh Menteri Budaya agar melanjutkan had tempoh perkhidmatan tentera kepada 30 tahun.

Ahli BTS paling tua, Jin, 27 tahun bakal memasuki usia had maksimum bagi kemasukan tentera, sementara beliau melakar sejarah dalam dunia hiburan.

BTS baru-baru ini memecahkan rekod dan menduduki tempat pertama dalam senarai lagu hit Billboard Amerika Syarikat (AS) bagi lagu “Dynamite”, selain dicalonkan dalam Anugerah Grammy.

Dalam pada itu, syarikat pengurus Big Hit Entertainment tidak memberi komen terhadap perubahan akta negara, tetapi Jin dan ahli-ahli BTS yang lain berkata mereka bersedia melakukan tanggungjawab mereka terhadap negara.