Koronavirus: Kabinet setuju pakej rangsangan jika 2019-nCoV terus beri impak pada negara

Firdaus Azil
Januari 30, 2020 05:33 MYT
GUAN ENG: Kabinet sudah bersiap sedia dengan pakej rangsangan seperti itu sebagai langkah berjaga-jaga akibat perang dagang antara Amerika Syarikat dan China satu ketika dulu. - Gambar fail
Kerajaan sedia umum pakej rangsangan jika Novel Koronavirus (2019-nCoV) terus beri impak kepada ekonomi negara ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Jelasnya lagi, Kabinet sudah bersiap sedia dengan pakej rangsangan seperti itu sebagai langkah berjaga-jaga akibat perang dagang antara Amerika Syarikat dan China satu ketika dulu.
Namun, Lim berkata, adalah masih terlalu awal untuk mendedahkan mekanisme serta jumlah rangsangan itu buat masa sekarang kerana apa yang penting ialah memberi bantuan yang sepatutnya kepada Kementerian Kesihatan dalam usaha mengekang penularan kluster itu serta menjaga keselamatan rakyat Malaysia.
BACA: [LAPOR LANGSUNG]: Hati-hati dengan wabak koronavirus
“Kita akan menilai impak daripada virus ini kerana kita kena akui memang melihat kesannya ke atas sektor pelancongan (terutamanya).
”Sekiranya ada impak tersebut, itu pun dah dibincang dalam Kabinet, Kementerian Kewangan sedang menilai dan sedia merangka untuk lancarkan pakej rangsangan ekonomi. Tapi ini masih awal lagi, kerana kita harus berikan tumpuan untuk keselamatan dan kesihatan rakyat,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas menghadiri Majlis Lanjutan Tempoh Ibu Pejabat World Bank di Malaysia, di sini hari ini.
Turut hadir di majlis itu ialah Naib Presiden World Bank untuk Asia Timur dan Pasifik, Dr Victoria Kwakwa.
Dalam pada itu, Lim berkata, walaupun terdapat negara jiran lain seperti Thailand telah menurunkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mereka ekoran impak virus berkenaan, masih terlalu awal untuk Malaysia lakukan sedemikian.
Beliau beliau berkata, cabaran yang dilalui antara Malaysia dan Thailand adalah berbeza kerana negara Gajah Putih itu menerima sekitar 11 juta pelancong terus dari China, manakala Malaysia dalam dua juta.
#Amerika Syarikat #China #ekonomi #KDNK #Keluaran Dalam Negara Kasar #keselamatan #kesihatan #Lim Guan Eng #novel koronavirus #unjuran ekonomi #Victoria Kwakwa #Wabak koronavirus