PUTRAJAYA : Kos pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah dikurangkan kepada RM74.96 bilion berbanding kos asal iaitu RM85.97 bilion, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penjimatan kos sebanyak RM11.01 bilion itu, jelas beliau, merupakan hasil rundingan cekap oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, dan Kementerian Kerja Raya sebelum ini.

Biarpun kos ECRL naik sebab kerana terikat dengan perjanjian lama, Anwar berkata, penjimatan yang berjaya dilakukan secara keseluruhan dapat membantu meringankan tanggungan kerajaan ketika ini.

“Kos ECRL naik sebab kita terikat dengan perjanjian lama dan walaupun ada penambahan permohonan sedikit kos kerana laluan baharu, tetapi kalau kita lihat kos keseluruhan ECRL itu lebih rendah RM11.01 bilion, berbanding kos asal RM85.97 bilion pada 2016.

“Ada sedikit penambahan kerana pembiayaan tambahan bagi menampung penjajaran semula Rel Pantai Timur yang kita luluskan, tetapi kos keseluruhan itu diturunkan sebanyak RM11.01 bilion,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau dimaklumkan biarpun ada perubahan kepada kos keseluruhan, itu tidak akan melambatkan proses rundingan dan pelaksanaan sedia ada.