KOTA BHARU: Kos haji dijangka meningkat kepada lebih RM30,000 berbanding RM23,000 sebelum ini susulan peningkatan Cukai Nilai Tambah (VAT) yang diperkenalkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, VAT itu meningkat kepada 15 peratus berbanding lima peratus sebelum ini menyebabkan jangkaan peningkatan kos haji sebanyak lebih 50 peratus.

“Peningkatan kos sebahagian besarnya berkait rapat dengan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang perlu dipatuhi termasuk penjarakan fizikal seperti had kapasiti bilik hotel dan bas.

“Jumlah tepat kos haji akan datang itu bagaimanapun akan diputuskan dalam kabinet dan diketahui awal tahun hadapan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran membabitkan 18 keluarga di Jalan Gajah Mati di sini.

BACA: Peningkatan kos haji, kerajaan jamin tetap beri subsidi - Ahmad Marzuk

BACA: Kos haji dijangka meningkat, susulan inflasi dan SOP COVID-19 - Ahmad Marzuk

BACA: Kos haji dijangka naik ke RM25,000

BACA: Kos ibadah haji 2022 dimuktamadkan lepas dibentang kepada Kabinet - Idris


Beliau menegaskan, Tabung Haji tetap akan menanggung sebahagian daripada kos, namun jumlah yang akan ditanggung itu belum diputuskan.

“Sebelum ini, kos keseluruhan untuk mengerjakan ibadat haji adalah RM23,000, namun jemaah hanya dikenakan bayaran RM9,980 dan kos itu tidak pernah dinaikkan sejak 2001.

“Apabila jumlah tepat sudah diputuskan, kita akan maklumkan kepada bakal jemaah haji dan pada masa sama, kita juga berusaha untuk menyedarkan supaya mana-mana yang berkemampuan membayar penuh kos berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Marzuk berkata, kuota jemaah haji juga akan diketahui awal tahun hadapan.

“Segala keputusan tertakluk kepada kerajaan Arab Saudi sama ada akan mengekalkan kuota 30,000 jemaah atau dikurangkan.

“Kita perlu terima apa-apa sahaja kemungkinan memandangkan keadaan pandemik Covid-19,” katanya.


Artikel asal di Sinar Harian