KUALA LUMPUR: Berikutan peningkatan kos yang tidak dapat dielakkan, Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan dua kadar bayaran kepada bakal jemaah muassasah yang pertama kali mengerjakan haji tahun ini.

Dua kadar bayaran yang diperkenalkan itu ialah RM10,980 perlu dibayar setiap jemaah muassasah daripada golongan B40 sementara bagi jemaah bukan daripada kategori B40 pula akan dikenakan sebanyak RM12,980.

Kadar baharu yang diumumkan oleh TH itu menyaksikan peningkatan RM1,000 kepada golongan B40 dan kenaikan RM3,000 pula bagi kategori bukan B40.

Peningkatan kos ibadah itu kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Datuk Seri Amrin Awaluddin, adalah disebabkan kenaikan caj pelbagai perkhidmatan dan cukai oleh kerajaan Arab Saudi.

[TERKINI] Sidang media pengumuman penting Haji


Menurut Amrin, sejak 2009, kos mengerjakan haji kekal pada RM9,980 dan ini merupakan kenaikan kali kedua sejak diumumkan pada 2004.

"Berikutan pelaksanaan bantuan bersasaran, jemaah muasasah kategori B40 dikenakan bayaran haji sebanyak RM10,980 seorang iaitu peningkatan RM1,000 berbanding tahun 2019.

"Bayaran haji seorang jemaah Muassasah dalam kategori bukan B40 pula ialah RM12,980 seorang iaitu peningkatan RM3,000 atau purata 2.3 peratus setahun," kata Amrin dalam sidang media pengumuman kos mengerjakan haji di Ibu Pejabat TH di sini, hari ini.

Bayaran haji meningkat RM1,000 berbanding 2019

Mengulas lanjut, kata Amrin, antara faktor utama kenaikan kos haji adalah disebabkan Cukai Nilai Tambah (VAT) dan caj visa haji serta perlindungan insuran untuk jangkitan COVID-19 yang dikenakan kerajaan Arab Saudi.

"Cukai VAT Arab Saudi telah dinaikkan daripada 5 peratus kepada 15 peratus dan ini adalah faktor utama kepada kenaikan kos haji kerana jemaah menerima pelbagai perkhidmatan di Tanah Suci.

"Cukai ini sahaja menyebabkan kos haji meningkat lebih RM2,500 untuk seorang jemaah haji muasasah," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, bagi memastikan jemaah haji terus mendapat bantuan, TH, kata Amrin, akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji dan menyerap kenaikan kos haji tahun 2022 terutama bagi jemaah di bawah kategori B40.

Sehubungan itu, Amrin memaklumkan, sebanyak RM150 juta akan dibelanjakan TH bagi menampung sebahagian kos menunaikan ibadat haji tahun ini.

"TH akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji dan menyerap kenaikan kos bagi jemaah haji Malaysia terutama kategori B40 yang sudah tentunya lebih terkesan dengan impak COVID-19 ke atas sara hidup mereka,” jelasnya sambil memberitahu penetapan golongan kategori B40 dibuat berdasarkan pengkalan
data yang diguna pakai oleh kerajaan.

Dalam sidang media itu, beliau turut menjelaskan, sejak 2001, jemaah Malaysia hanya membayar sebahagian daripada kos sebenar untuk menunaikan ibadah rukun Islam kelima itu, manakala selebihnya ditanggung oleh TH melalui Bantuan Kewangan Haji yang dijana daripada hasil pendapatan pelaburan.

Bagi tahun ini, kerajaan Arab Saudi memperuntukan 14,306 kuota haji kepada jemaah seperti diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad semalam.

Menurut Idris, jumla berkenaan merupakan 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima Malaysia.

Untuk tahun ini juga, hanya satu juta jemaah dari seluruh dunia diberi kebenaran untuk menunaikan haji daripada kerajaan Arab Saudi berbanding 2.5 juta jemaah seperti tahun-tahun sebelum penularan COVID-19.