KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merekodkan rampasan bernilai hampir RM5.7 juta membabitkan 896 kes sejak Januari sehingga kini.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata jumlah kes tersebut melibatkan rampasan minyak masak paket bersubsidi, gula, tepung gandum, kenderaan, petrol dan diesel dengan nilai denda keseluruhan RM203,300 selain jumlah kompaun RM870,600 bagi tempoh berkenaan.

"Sebanyak 281 kes membabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai rampasan sebanyak RM4.9 juta dan kompaun yang diperoleh adalah sebanyak RM187,600.

"Dalam usaha melindungi pengguna, KPDN Kelantan meningkatkan keberadaan pegawai penguat kuasa di tempat terpilih yang menjadi tumpuan orang ramai melibatkan 136 penguat kuasa dan 86 pegawai pemantau harga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Walkabout Pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2022 di Tunjong di sini pada Jumaat.

Azman berkata di Kelantan enam jenis barangan yang diwartakan dalam Skim Harga Maksimum Musim Banjir Perayaan Krismas 2022 iaitu daging kambing dan biri-biri import bertulang, tomato, lada benggala hijau, kubis bulat import (China dan Indonesia), lobak merah dan ubi kentang import (China).

Dalam perkembangan lain, beliau berkata tiga stesen minyak di negeri ini ditutup baru-baru ini berikutan banjir melanda beberapa kawasan akibat hujan lebat pada 18 Dis lepas.

Bagaimanapun, menurutnya tiga stesen minyak tersebut yang terletak di Melor (Kota Bharu), Bachok dan Tumpat sudah beroperasi sejak kelmarin selepas air surut sepenuhnya.

Bagi bekalan minyak masak pula, beliau berkata bekalan minyak masak paket di Kelantan dilaporkan tidak terjejas, walaupun dua kilang pembungkusan tersebut menghadapi masalah ketika banjir baru-baru ini di Bachok dan Pasir Puteh.

Mengulas lanjut, Azman berkata bagi menangani masalah bekalan, beberapa kilang mempunyai stok penimbal bagi menampung keperluan sebelum ini.

Katanya KPDN Kelantan turut menyediakan 10 tan metrik melibatkan bantuan makanan keperluan asas untuk diagihkan kepada 511 ketua isi rumah (KIR) di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) yang terjejas banjir di negeri ini.

"Antara makanan asas itu ialah gula, minyak masak, tepung gandum, beras, teh uncang dan sardin," katanya.

-- BERNAMA