KPDN rampas 1,500 barangan tiruan di Parit Buntar

Bernama
Mei 31, 2023 16:32 MYT
Kamalludin berkata rampasan dilakukan menerusi operasi bersepadu membanteras aktiviti pengedaran dan penjualan barang tiruan oleh 20 anggota penguat kuasa pasukan itu kira-kira 12 tengah hari. - Gambar Sinar Harian
IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 1,500 unit barangan termasuk kasut dan set pakaian sukan disyaki tiruan dianggarkan bernilai RM83,000 di premis sekitar Jalan Pasar, Parit Buntar pada Rabu.
Pengarahnya Datuk Kamalludin Ismail berkata rampasan dilakukan menerusi operasi bersepadu membanteras aktiviti pengedaran dan penjualan barang tiruan oleh 20 anggota penguat kuasa pasukan itu kira-kira 12 tengah hari.
"Hasil risikan telah berjaya mengesan empat premis di lokasi yang disyaki dijadikan stor penyimpanan barang tiruan. Serbuan dilakukan oleh pasukan penguat kuasa KPDN Perak dengan kerjasama wakil pemilik cap dagang.
"Pemeriksaan menemukan keseluruhan unit barangan itu yang disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan di sini pada malam Rabu.
Beliau berkata verifikasi awal yang dijalankan oleh wakil pemilik cap dagang berdaftar mendapati semua barangan tersebut disyaki tiruan dan kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
-- BERNAMA
#kpdn #cap dagang berdaftar #set pakaian sukan #barang tiruan