HULU TERENGGANU: Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan kit ujian kendiri antigen COVID-19 di pasaran mencukupi untuk menampung permintaan yang dijangka meningkat susulan kebenaran rentas negeri yang akan diumumkan kerajaan beberapa hari lagi.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata ketika ini terdapat kira-kira 6 juta kit ujian tersebut di pasaran.

Menurut beliau terkini kira-kira 28 syarikat pembekal diberikan lesen untuk mengilang dan mengedar kit ujian kendiri itu.

Jumlah tersebut dijangka akan bertambah dari semasa ke semasa dan sekaligus akan meningkatkan bekalan kit ujian kendiri antigen COVID-19 di pasaran.

"Dari segi alat rakyat tidak perlu bimbang, cuma kita sedang mengusahakan untuk membenarkan alat-alat ini bukan sahaja dijual di farmasi dan premis-premis perubatan, tetapi kita mahu ianya dijual juga di pasar raya dan kedai runcit serta tempat-tempat yang kita fikir lulus mengikut syatrat-syarat.

"Ini akan menjadi satu kemudahan kepada masyarakat, pada anak sekolah dan pada keluarga," katanya.

Sebelum ini kerajaan menetapkan harga runcit maksimum kit ujian kendiri COVID-19 adalah RM19.90 manakala harga borong RM16.

Penetapan harga tersebut dibuat selepas kerajaan mengambil kira keperluan rakyat.

Beliau ditemui selepas merasmikan program Fun Ride di Kuala Berang pada Sabtu.