TUMPAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merampas 1,041 kilogram minyak masak paket bersubsidi di Pasir Pekan di sini pada Rabu.

Rampasan dilakukan dalam Operasi Membanteras Ketirisan Barang Kawalan di sekitar sempadan pada jam 11.40 pagi.

Pengarah KPDNHEP Kelantan, Azman Ismail berkata, hasil maklumat risikan, pasukan mengesan pergerakan sebuah kereta jenis Proton Wira dalam keadaan mencurigakan dinaiki dua individu dari arah Kota Bharu menghala ke Pasir Pekan, Tumpat.

“Pasukan bertindak mengekori kenderaan terbabit bagaimanapun suspek menyedari kenderaannya diekori lalu bertindak memecut laju menghala ke arah Taman SBJ Pasir Pekan.

“Apabila sampai di belakang sebuah klinik, suspek memberhentikan kenderaan di bahu jalan dan melarikan diri ke dalam semak berhampiran serta gagal dikesan pasukan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kereta bernombor pendaftaran Malaysia itu menjumpai minyak masak paket sekilogram sebanyak 1,041 kilogram (kg) berada dalam kenderaan terbabit.

“Minyak tersebut disyaki akan diseludup ke Thailand melalui pangkalan haram di Tumpat.

“Nilai rampasan keseluruhan minyak masak terbabit berjumlah RM2,602.50 dan kenderaan bernilai RM5,000,” katanya.

Menurut Azman, kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana memiliki barang kawalan tanpa lesen dengan niat melakukan kesalahan.

“Siasatan lanjut dijalankan ke atas pemilik asal kenderaan dan punca barang kawalan yang diperoleh. KPDNHEP tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau peniaga yang melanggar undang-undang.

“Kerjasama bersepadu diteruskan bersama agensi penguatkuasaan sempadan dari semasa ke semasa bagi menyekat aktiviti penyeludupan barangan kawalan,” jelas beliau. - Sinar Harian