ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal (KPDNHEP) meminta pelanggan yang mempunyai maklumat berkaitan roti canai yang didakwa dijual RM4 sekeping di Langkawi supaya tampil membuat aduan.

Pengarah KPDNHEP Kedah, Rae Morn Verak berkata, pihaknya sudah menghantar pegawai untuk membuat pemeriksaan namun tiada laporan sedemikian ditemui.

Justeru, beliau meminta pelanggan yang terbabit atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat membuat laporan serta mengemukakan resit kepada KPDNHEP untuk siasatan.

"Pihak kami berhubung dengan Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) untuk mendapatkan maklumat lanjut dan kami juga menyeru sekiranya ada pihak yang terlibat tolong kemukakan kepada kami resit untuk kita buat siasatan.

"Pada masa sama, saya sudah arahkan KPDNHEP cawangan Langkawi untuk mengadakan pemantauan melalui Op Menu di kawasan-kawasan yang dinyatakan tersebut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

BACA: Persatuan Pengguna Kedah terima aduan roti canai dijual RM4 sekeping di Langkawi

Astro AWANI semalam melaporkan, CAKE menerima 100 aduan berkaitan makanan mahal di negeri ini.

Setiausaha CAKE, Mohd Yusrizal Yusoff dilapor berkata, aduan itu termasuklah kes roti canai dijual pada harga RM4 sekeping di Langkawi kira-kira dua minggu lalu.