BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang berjaya mematahkan cubaan menyeleweng 400 liter minyak bersubsidi dalam serbuan di Taman Permai Jaya, di sini, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri A.Mogan berkata pihaknya menerima maklumat berhubung sebuah lori telah melakukan pembelian diesel bersubsidi dalam kuantiti yang banyak di sekitar Bukit Minyak pada 6.30 petang sebelum bertindak menjejaki lori tersebut.

"Tindakan lori itu mencurigakan dan penguat kuasa kami telah bertindak mengekorinya sebelum menahan kenderaan tersebut yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 30an.

"Pemeriksaan dalam lori itu menemukan 400 liter minyak diesel bersubsidi di dalam sebuah tangki simpanan, terdapat dua tangki simpanan yang berkapasiti 2,000 liter berada dalam kenderaan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut merampas seunit motor pam yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyelewengan itu dan kesemua rampasan bernilai RM22,160.

Katanya siasatan awal mendapati suspek berperanan membeli bekalan diesel di beberapa buah stesen minyak di sekitar Bukit Minyak sebelum ia dijual semula kepada industri dengan harga lebih mahal.

Beliau berkata lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan menurut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan pihaknya kini sedang mengesan rangkaian sindiket tersebut yang dipercayai aktif sejak sebulan lepas.

-- BERNAMA