Sebanyak 10,455 bungkusan makanan kucing dan anjing tiruan menggunakan jenama terkenal bernilai RM230,000, dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Sri Edaran Industrial Park, Kepong, pada Khamis.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) Ariffin Samsudin berkata dalam serbuan pada 11 pagi itu, pihaknya turut merampas alat timbang elektronik, mesin perekat dan mesin pencetak tarikh.

"Rampasan barangan makanan tiruan untuk kucing dan anjing itu merupakan kali pertama seumpamanya.

"Serbuan dilakukan selepas menerima aduan daripada wakil pemilik cap dagang berdaftar tentang tindakan sebuah syarikat yang menjual barangan berkenaan secara dalam talian di bawah harga pasaran," katanya kepada pemberita di Stor KPDNHEP WPKL, pada Jumaat.

Menurutnya pihak KPDNHEP sebelum itu turut menerima laporan daripada pelanggan yang mengatakan haiwan peliharaan mereka mengalami sakit perut setelah memakan produk berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai yang ingin membeli makanan kucing dan anjing supaya mendapatkan produk asli dari pengedar sah atau kedai binatang peliharaan serta sentiasa berhati-hati terhadap produk yang dijual dalam talian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (c), Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan apa-apa barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah di bawah seksyen 100.

Untuk rekod, sepanjang bulan ini, sebanyak lapan rampasan melibatkan 13,404 pelbagai jenis barangan yang bernilai RM1.72 juta direkodkan di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

Orang ramai yang mempunyai sebarang masalah berkaitan boleh menyalurkan aduan kepada KPDNHEP melalui talian: 1800 886 800, e-mel: [email protected] atau mana-mana 73 pejabat KPDNHEP berdekatan.

-- BERNAMA