KUCHING: Penguat kuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarikei melumpuhkan sindiket menyorok minyak masak peket bersubsidi di bandar ini setelah menyerbu sebuah kediaman di Jalan Jelutong Barat di sini semalam.

Menurut Ketua Cawangannya, Mohamad Zawawi, hasil serbuan tersebut, pihaknya berjaya merampas 600 kilogram minyak masak peket dengan nilai pasaran RM1,500.

"Siasatan awal kita mendapati premis kediaman tersebut tidak memiliki lesen sebagai stor simpanan minyak masak.

"Malah premis berkenaan tidak mempunyai lesen sah untuk menyimpan barangan kawalan dalam kuantiti yang banyak," katanya dalam kenyataan.

Katanya, serbuan tersebut turut disertai pihak  Cawangan Khas PDRM bagi memastikan bekalan barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung gandum serta barang keperluan asas mencukupi di pasaran.

Menurut beliau, ia juga bertujuan mengelak berlakunya aktiviti penyelewengan melalui aktiviti menyembunyi barang-barang kawalan.

Mana-mana individu atau peniaga yang melanggar undang-undang terutamanya melibatkan penyelewengan barang kawalan bersubsidi katanya, boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM1,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.

“Bagi orang perseorangan, mereka berhadapan  penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat, denda tidak melebihi RM2,000,000  manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000," katanya.