KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyerbu dua premis menjual alat teknologi penstriman (android box) di sebuah pusat beli-belah di sini, Khamis lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, serbuan itu dibuat hasil maklumat pemilik hak cipta serta risikan awal pihaknya.

"Kita telah merampas sebanyak 11 unit alat teknologi penstriman berserta dokumen berkaitan disyaki mengandungi karya hak cipta yang dituntut haknya oleh pemilik hak cipta.

"Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM7,500," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 20-an yang mengaku sebagai pemilik dan pekerja di premis terbabit untuk siasatan lanjut.

"Mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 43AA Akta Hak Cipta 1987 iaitu melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya dengan menjual suatu teknologi penstriman," katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP telah menambah baik Akta Hak Cipta 1987 melalui pindaan kepada Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang telah berkuat kuasa 18 Mac lalu.

“Ia memberi penekanan dalam usaha pihak KPDNHEP untuk membanteras pelanggaran hak cipta secara dalam talian atau cetak rompak digital ini dengan lebih berkesan," katanya.

Azman berkata, KPDNHEP mengingatkan semua peniaga agar tidak menjual alat teknologi penstriman sedemikian bagi mengelak dikenakan tindakan.

"Tindakan penguatkuasaan serta pemantauan berterusan dan tegas akan dilakukan kerana alat teknologi penstriman ini berupaya untuk melakukan pelanggaran hak cipta dalam karya hak cipta dilindungi,” katanya.