KUALA TERENGGANU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited bagi menyelesaikan dan menangani projek perumahan 'sakit' atau terbengkalai agar tidak terus berlarutan.

Timbalan menterinya, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib berkata, setakat ini sebanyak 16 projek perumahan terbengkalai sedang dipulihkan.

Katanya, selain kenaikan harga barang, kesan COVID-19 juga antara punca yang dikenal pasti menyebabkan projek berkenaan terbengkalai.

“Pihak kerajaan bercadang telah memikirkan pendekatan untuk menyelaraskan masalah-masalah seperti ini supaya masalah rumah dapat diselaraskan dengan baik, tidak ada rumah terbengkalai.

"Kita tak nak salahkan mana-mana (pihak) tapi ini tidak boleh dielakkan (sebab) kadang-kadang pelbagai faktor penyebabnya termasuklah harga barang naik... barang ni bukan kerana negara kita, kerana barang-barang diimport dan sebagainya.

"(Jadi) hendak tak hendak, kita terpaksa berhadapan dengan fenomena seperti ini," katanya kepada media selepas merasmikan program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar, di sini, semalam.

Ismail berkata pihaknya serta jawatankuasa di bawah kerajaan juga sedang memantau dan menangani projek perumahan terbengkalai lain yang secara langsung memberi kesan khususnya kepada pembeli, peminjam.

Justeru, katanya KPKT juga telah mewujudkan 'war room' khusus untuk mendepani isu berkaitan perumahan, terutamanya membabitkan projek sakit serta kelewatan pemaju menyiapkan projek.

Menurut ismail, pendekatan itu bukan sekadar membabitkan semua projek perumahan di bawah seliaan KPKT seperti PR1MA, Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB),  Perbadanan PR1MA, malah turut meliputi pemaju swasta.