PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan sebanyak RM67.5 juta bagi kerja-kerja pascabanjir, kata Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata peruntukan berkenaan merangkumi RM50 juta untuk pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi kos membaik pulih infrastruktur dan kemudahan awam, RM12.5 juta untuk kerja-kerja pembersihan sisa banjir dan RM5 juta daripada Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) bagi keperluan Bantuan Bakul Bencana KPKT.

"Sebagai persediaan banjir gelombang kedua di Kelantan, Terengganu, Perak, Pulau Pinang dan Johor pula, KPKT telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM7.825 juta bagi kerja perkhidmatan kutipan, pembersihan dan pelupusan sisa banjir," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Mengenai warga KPKT yang terjejas akibat banjir, katanya setakat 30 Dis, jumlah penerima bantuan banjir adalah seramai 595 orang, dengan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) paling ramai terjejas iaitu seramai 313 orang di seluruh negara.

Katanya, jumlah berkenaan dijangka bertambah berikutan kejadian banjir masih lagi berlaku dan KPKT akan terus membantu warganya yang terkesan.

Beliau pada masa sama turut menzahirkan penghargaan kepada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) kerana biarpun ramai mangsa banjir terdiri daripada anggota agensi berkenaan, ia tidak menjejaskan kerja-kerja pascabanjir, termasuk pembersihan awam, kutipan sampah dan pelupusan.

"Saya juga merakamkan penghargaan khususnya terhadap komitmen pasukan bomba dan penyelamat yang meletakkan kepentingan awam dan rakyat, melebihi hal keluarga sendiri, 'service before self', meskipun mereka juga merupakan mangsa dalam kejadian banjir yang berlaku ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebagai tanda komitmen membantu warga KPKT yang terjejas, beliau dan Timbalannya Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib juga akan menyerahkan keseluruhan gaji bulan Januari 2022 bagi Tabung Bencana Keluarga KPKT.

Menurutnya, dalam satu majlis ringkas semalam, KPKT juga menyerahkan sumbangan Tabung Bencana Keluarga KPKT iaitu sumbangan RM1,000 kepada warga KPKT yang terjejas teruk dan RM500 bagi warga yang terjejas sebahagian akibat bencana banjir.

"Selain itu, barangan keperluan asas seperti dapur, periuk nasi, beras, tepung, minyak masak, air mineral dan sebagainya turut disumbangkan oleh PR1MA dan Kelab Sukan dan Kebajikan KPKT (KESKEP)," katanya.

-- BERNAMA