JOHOR BAHRU: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan sebanyak RM23.1 juta kepada 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor bagi menaik taraf infrastruktur awam di negeri ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata peruntukan itu termasuk RM1.3 juta kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi menaik taraf Anjung Selera Laman Tasek Pandan dan Gerai Jalan Biru di Taman Pelangi, di sini.

"Naik taraf dan tambah baik Anjung Selera Laman Tasek Pandan, naik taraf unit gerai ruang makan, tandas awam bertaraf BMW, bumbung berbekal tenaga solar, sistem perparitan, pemasangan perangkap minyak dan turap semula jalan sekitar gerai.

"Bangunan ini memenuhi kehendak green building index, sebagai hala tuju kementerian," kata Kor Ming.

Peruntukan RM23.1 juta kepada PBT Johor

Tambah beliau, RM8.5 juta pula diperuntukkan bagi menyelenggara kolam takungan di 16 PBT.

"KPKT turut memperuntukkan RM8.5 juta kepada Johor bagi menyelenggara 28 kolam takungan air bagi memastikan air hujan yang turun tidak menyebabkan banjir kilat.

"Ia membabitkan 10 kolam takungan air (Muar), Kota Tinggi (enam), Mersing (empat), Batu Pahat dan Kulai (dua), manakala Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Pengerang pula masing-masing satu," katanya pada sidang media lawatan kerja di Anjung Selera Laman Tasik Pandan, di sini, hari ini.

Jelas Kor Ming, KPKT turut meluluskan sebanyak RM13.3 juta kepada 16 PBT Johor bagi melaksanakan 35 projek naik taraf pelbagai kemudahan awam.

"Peruntukan yang disalurkan berlandaskan pelaksanaan atau 'performance-based budget' bagi mengelakkan ketirisan dana awam.

"Kesemua projek ini akan dimulakan dalam tempoh terdekat dan perlu disiapkan sebelum akhir tahun ini supaya rakyat dapat merasai dan menikmati kemudahan serta infrastruktur baharu," katanya.