NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyasarkan untuk menyelesaikan isu kekurangan guru di seluruh negara secara berperingkat sebelum sesi persekolahan baharu yang dijadual bermula Mac ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata meskipun isu kekurangan guru tidak kritikal di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia berbanding sekolah di Sarawak, namun isu tersebut tetap akan diberi perhatian sewajarnya.

Jelasnya, pihak KPM akan cuba mengatasi isu kekurangan guru di mana-mana negeri yang masih  menghadapi masalah tersebut.

Bagaimanapun Fadhlina berkata sebagai permulaan, pihaknya akan menyegerakan pengisian kekurangan guru di Sarawak terlebih dahulu.

"Untuk negeri lain kita lihat juga perkara tersebut, dan saya fikir dengan adanya persiapan guru kita ini, sebelum buka sekolah Mac ini, Insya-Allah kita akan cuba atasi mana-mana negeri yang ada masalah isu kekurangan guru," jelasnya.

Fadhlina berkata demikian ketika diminta mengulas isu kekurangan guru semasa menghadiri sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Dewan Serbaguna Jawi, Nibong Tebal pada Ahad.

Pada Sabtu, Fadhlina memaklumkan KPM akan cuba mengisi 50 peratus daripada anggaran jumlah 3,000 kekurangan guru di Sarawak menjelang Mac depan.

Katanya usaha itu adalah langkah awal pihaknya bagi menyelesaikan isu kekurangan guru di Sarawak.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa penyelesaian mampu dicapai meskipun dasar nisbah 90:10 guru Sarawak dan guru bukan dari Sarawak masih digunakan di negeri itu.