KUALA LUMPUR: Guru-guru yang enggan mengambil suntikan vaksin akan diasingkan daripada sesi pembelajaran di sekolah selain bakal diambil tindakan yang akan diputuskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kelak.

Menurut Menterinya Datuk Radzi Jidin, lebih 2,500 guru yang enggan divaksin bagaimanapun masih dibenarkan datang ke sekolah namun akan ditempatkan di bilik berasingan berbanding guru-guru yang telah menerima suntikan vaksin.

“Ada tempat khas untuk mereka yang berbeza dengan guru-guru lain dan diasingkan. Kita juga sedang berbincang dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan juga pihak berkaitan apakah tindakan susulan (yang akan diambil) dalam konteks tatacara perkhidmatan awam terhadap guru-guru ini,” katanya ketika mengadakan sidang media bersama Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein di Kementerian Pertahanan pagi tadi.

Tambah beliau sesi persekolahan berperingkat akan tetap dimulakan pada 3 Oktober ini mengikut perancangan yang telah diumumkan sebelum ini.

TONTON: Sesi persekolahan bagi pelajar sekolah tahun ini akan dilanjutkan sehingga Februari 2022

BACA: Pengoperasian sekolah: Takwim persekolahan 2021 dilanjutkan sehingga Mac 2022 - Radzi Jidin

BACA: Pembukaan semula sekolah: Murid khas perlu ada pendekatan SOP - Ras Adiba

Sementara itu jelas Hishamuddin, terdapat 2,169 guru KPM di tempatkan di sekolah membabitkan kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara.

Proses vaksinasi membabitkan guru-guru terbabit katanya setakat ini berjalan dengan lancar.

“Setakat ini saya dimaklumkan seramai 1,990 daripadanya iaitu lebih daripada 90 peratus telahpun menerima vaksinansi lengkap,” jelasnya.

Bagaimanapun jumlah guru yang enggan divaksin itu masih kecil berbanding jumlah keseluruhan guru di bawah KPM yang hampir mencecah 500,000 orang.

Justeru, KPM masih lagi diperingkat perbincangan bagi memperincikan atau menentukan bentuk tindakan sewajarnya kepada kelompok guru berkenaan.