KPM buka pengambilan khas 18,702 guru gred DG41 - Radzi Jidin

Ridauddin Daud
Jun 20, 2021 03:00 MYT
Radzi berkata pengambilan berskala besar itu dilakukan secara 'one-off' bertujuan menyelesaikan masalah kekurangan guru. -Astro AWANI
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan pengambilan khas melibatkan 18,702 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41 dalam masa terdekat.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, pengambilan berskala besar itu dilakukan secara one-off bertujuan menyelesaikan masalah kekurangan guru.
“Ini merupakan satu proses pengambilan yang cukup besar dalam tempoh singkat bagi memastikan isu kekurangan guru dapat diselesaikan.
“Isu ini telah berlarutan lama dan jika tidak dicari titik noktah, tutup jurang kekurangan itu, maka sampai bila-bila isu ini tidak akan selesai.
“Pengambilan kali ini membolehkan kita selesaikan isu ini.
"Kita tutup rapat jurang untuk mewujudkan satu asas bagi kita mulakan semula untuk pastikan isu kekurangan guru ini tidak berlaku di masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas secara maya yang turut disiarkan secara langsung di Astro AWANI pada Ahad.
Tambah beliau, iklan untuk pengambilan tersebut akan mula dikeluarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) pada Julai.
“Penempatan secara berperingkat akan dibuat mulai Oktober 2021. Jika kita lihat, ini adalah satu proses yang mudah, bukan seperti pengambilan biasa.
“Pengambilan lebih 18,000 guru ini perlu diselesaikan dalam tempoh yang singkat untuk pastikan usaha ini menjadi kenyataan dan untuk memastikan kita dapat menyumbang kepada penambahbaikan kualiti pendidikan negara.
“KPM akan bekerjasama dengan SPP bagi memastikan perancangan ini dapat dilaksanakan dengan teratur dan terancang,” ujarnya.
Tegasnya, inisiatif terbaharu itu adalah hasil perbincangan KPM dan pelbagai agensi yang mendalami isu kekurangan guru yang membelenggu negara sejak dahulu.
Katanya lagi, sekiranya cara lama masih diamalkan, ia tidak dapat membantu menyelesaikan masalah berkenaan.
#KPM #guru #Radzi Jidin #sekolah #pendidikan #Kementerian Pendidikan #Malaysia #kurang guru