KAJANG: Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan pihaknya sentiasa proaktif dalam menyelesaikan lambakan siswazah dalam bidang pendidikan dengan mengadakan perbincangan dan perkongsian data dengan beberapa pihak yang terlibat.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya sentiasa mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa berhubung perkara itu dan satu unjuran lebih terancang sedang dilakukan.

"Perbincangan itu memang dilakukan secara progresif bukan soal surat tapi memang sudah dibuat perbincangan itu yang boleh saya kongsikan adalah bagaimana kita nak membuat tindakan yang lebih proaktif iaitu, satu perkongsian data, yang kedua unjuran lebih terancang sebab kita di KPM menguruskan graduan Institut Pendidikan Guru (IPG).

"Selain itu Kementerian Pendidikan Tinggi juga mempunyai fakulti pendidikan yang lain jadi unjuran dan perkongsian data ini penting, jadi boleh saya maklumkan sangat progresif," katanya ketika mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Beliau berkata Universiti Pendidikan Sultan Idris sendiri misalnya sedang bersama KPM dalam mendukung dan menyokong untuk memastikan isu graduan pendidikan serta penempatan guru tiada masalah selepas ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali berkata jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar dalam pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 semakin mengecil iaitu 0.03 mata berbanding tahun lepas.

"Jurang luar bandar dan bandar semakin mengecil menunjukkan anak-anak luar bandar semakin baik prestasi.

"Pelajar bandar meningkat manakala luar bandar lagi lebih meningkat menandakan anak luar bandar mendapat akses pendidikan yang menyamai atau hampir sama dengan anak-anak di bandar.

"Hal ini kerana mungkin kita sudah memperluaskan akses internet dan mereka boleh memperoleh bahan rujukan dalam talian dan ini mungkin antara puncanya," katanya.

Beliau berkata sekiranya ini dapat diperkasakan lagi, jurang ini akan dikecilkan lagi dan semua mendapat akses pendidikan yang sama dan berkualiti.

-- BERNAMA