KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan melaksanakan projek rintis bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan menumpukan perhatian kepada sektor perladangan sawit sebagai permulaan.

Menterinya Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata cadangan pelaksanaan projek rintis itu akan diadakan di Selangor dengan anggaran pekerja seramai 5,000 orang dan ia telah pun mendapat sokongan penuh Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF).

"Tindakan selanjutnya sedang diperincikan bersama CITF untuk dimulakan dalam tempoh terdekat," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Mohd Khairuddin berkata bekalan serta penghantaran vaksin akan diberikan secara percuma oleh kerajaan menerusi progam vaksinasi tersebut.

Bagaimanapun, pihak syarikat masih perlu membiayai sendiri kos lain seperti penyediaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mengikut spesifikasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), peralatan perubatan (mengikut standard KKM), kos pemvaksin, doktor, jururawat serta bayaran elaun kepada petugas sukarelawan dan anggota keselamatan.

"Penyertaan pihak industri dalam program ini adalah secara sukarela bagi mendapatkan vaksin untuk para pekerja di sektor perladangan dan agrikomoditi secara berkumpulan.

"Dalam hal ini, KPPK mengalu-alukan penglibatan dan kerjasama daripada pihak industri serta persatuan dalam membantu kerajaan menjayakan program vaksinasi," katanya.

KPPK membuat pengumuman dari semasa ke semasa berhubung pelaksanaan program berkenaan melalui siaran media dan juga laman web kementerian di www.mpic.gov.my.

-- BERNAMA