KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi bersetuju menaikkan kadar elaun pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Ahmad Masrizal Muhammad berkata perkara itu telah dipersetujui Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Noraini Ahmad pada 26 Ogos lepas dan menunggu persetujuan Kementerian Kewangan untuk dimuktamadkan.

"Pertama, kadar wang bantuan saku daripada RM300 kepada RM500 sebulan, kedua menaikkan kadar maksimum daripada RM5,000 atau RM20,000 setahun kepada RM10,000 atau RM40,000 setahun sepanjang tempoh pengajian meliputi yuran pengajian dan wang saku.

"Sama-sama kita berdoa agar kenaikan kadar ini yang telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk dimuktamadkan dan kita doakan agar kadar baharu ini dipersetujui pihak Kementerian Kewangan dan kerajaan," katanya ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara hari ini.

Ahmad Masrizal juga berkata semua projek infrastruktur dan pengubahsuaian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mematuhi garis panduan serta peraturan bagi perancangan bangunan dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada tahun 2005.

Beliau berkata garis panduan itu juga ditambah baik pada 2015 dengan penekanan diberi kepada penyediaan kemudahan untuk OKU pada peringkat awal reka bentuk bangunan berkenaan seperti jalan masuk khas untuk OKU dari pintu masuk pertama hingga pintu masuk bangunan.

"KPT telah pun menyalurkan peruntukan pembangunan sepanjang tahun 2015 hingga 2021 berjumlah RM51.4 juta bagi membaik pulih dan menyediakan infrastruktur khusus untuk pelajar OKU di IPTA.

"Perkara ini telah turut ditekankan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dalam konteks mengupayakan peningkatan kemudahan kepada pelajar OKU," katanya.

Persidangan Dewan Negara bersambung Isnin.

-- BERNAMA