JOHOR BAHRU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengingatkan ibu bapa agar sentiasa memantau dan mengawasi anak-anak mereka ketika bermain mercun atau bunga api sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri.

Timbalan Menteri berkenaan Aiman Athirah Sabu berkata ibu bapa perlu lebih peka dan tidak mengabaikan anak-anak mereka sekali gus menjelaskan pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 sekiranya pengabaian berlaku.

"Ini kerana kita tidak mahu perayaan berakhir dengan kesedihan. Anak-anak sepatutnya dipantau sentiasa dan jangan terlepas pandang, sekiranya berlaku, jika di peringkat kementerian boleh ditafsirkan sebagai pengabaian.

"Kita harap ibu bapa lebih peka, sekiranya pengabaian jelas ketara khususnya di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, kita akan ambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri 2023 anjuran Yayasan Petronas di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang membenarkan aktiviti pembakaran serta penjualan bunga api dan mercun di negara ini.

Jelas beliau, mengikut statistik Polis Diraja Malaysia, pengabaian sehingga membawa maut di negara ini meningkat sebanyak 200 peratus dengan 2021 melibatkan 24 kes, manakala pada tahun lepas 74 kes direkodkan.

Sementara itu, mengenai penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak bagi melindungi kanak-kanak termasuk melibatkan jenayah dan penderaan, beliau berkata kini ia dalam proses kajian penstrukturan dan penyusunan semula operasi serta dalam peringkat perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam serta Kementerian Kewangan bagi mendapatkan bajet awal.

"Perkara ini masih dalam peringkat fasa awal dan insya-Allah, pada 2026, jabatan ini boleh beroperasi sebagai agensi yang berdiri di bawah kementerian," katanya.

Terdahulu, Yayasan Petronas mengagihkan 250 bungkusan barangan makanan kepada keluarga berpendapatan rendah di bawah program itu melibatkan makanan asas dan perayaan seperti beras pulut, santan, pes rendang dan sos kacang selain biskut dan Petronas gift card.

-- BERNAMA