DUNGUN: Seramai 31 Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK), Sekolah Kebangsaan Ketengah Jaya Dua, Dungun, Terengganu menghasilkan baju bertemakan bulan kemerdekaan.

Menurut Guru Besar SK Ketengah Jaya Dua, Sharifah Che Ali, program berkenaan bertujuan mengembangkan kemahiran murid istimewa serta menyemai semangat patriotik.

Sharifah berkata, pelajar terbabit adalah daripada kategori masalah pembelajaran, lembam, sindrom down, autisme dan masalah fizikal.

"Program ini juga merupakan salah satu daripada satu cabang dalam Program TS25 iaitu bidang aspirasi seni.

"Selain daripada itu apa yang diharapkan daripada program ini adalah kita dapat mencungkil kemahiran murid-murid terutamanya dalam bidang seni.

"Walaupun mereka murid-murid kelas pendidikan khas tapi sebenarnya mereka mempunyai bakat dan kebolehan dalam menghasilkan satu karya yang terbaik," katanya.

Antara baju yang dihasilkan pelajar istimewa SK Ketengah Jaya Dua sempena Hari Kebangsaan. - Astro AWANI


Antara baju yang dihasilkan pelajar istimewa SK Ketengah Jaya Dua sempena Hari Kebangsaan. - Astro AWANI
 
Sharifah berkata, pihak pengurusan sekolah turut merancang pelbagai aktiviti untuk pelajar pendidikan khas di sekolah terbabit sepanjang bulan kemerdekaan.

Daerah Dungun mempunyai 29 buah sekolah menengah dan rendah membabitkan 670 orang murid berkeperluan khas yang aktif menyertai pelbagai aktiviti anjuran sekolah serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).