Sebanyak 47.83 peratus daripada 1,292 kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual telah pulih sepenuhnya.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd., Elina Baseri berkata, sehingga pukul 1.30 petang tadi (Ahad), sebanyak 618 kawasan pulih sepenuhnya manakala 674 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan.

"Gangguan bekalan air tidak berjadual ini ekoran henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang pada 3 September lalu.

"Berikut merupakan pemulihan mengikut wilayah iaitu Petaling 57.2 peratus; Klang dan Shah Alam (24.2%); Gombak (11.3%); Kuala Lumpur (41.3%); Hulu Selangor (94.1%); Kuala Langat (50%) dan Kuala Selangor sebanyak 93.5 peratus," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Elina berkata, usaha menstabilkan sistem agihan bekalan air sedang giat dilaksanakan untuk mempercepatkan proses pemulihan bekalan air ke kawasan yang masih terjejas.

"Air Selangor memohon kerjasama para pelanggan yang telah menerima bekalan agar menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan yang ditetapkan.

"Air Selangor juga telah menyediakan pili-pili awam dan Pusat Khidmat Setempat bagi tujuan mendapatkan bekalan air bersih," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan terus memaklumkan status terkini kepada pelanggan dari semasa ke semasa menerusi media massa dan semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang di www.airselangor.com.

Jumaat lalu, sebanyak 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 10 pagi susulan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.