Krisis ekonomi dan kesihatan memburuk, Venezuela tuding jari kepada AS

Astro Awani
Disember 3, 2020 23:00 MYT
Dalam ucapannya pada sesi khas Perhimpunan Agung PBB, Maduro menggesa supaya sokongan diberi ketika di tengah-tengah pandemik global. - AP Newsroom
CARACAS: Presiden Venezuela, Nicolas Maduro menyalahkan sekatan oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) terhadap krisis ekonomi dan kesihatan di negara itu yang semakin memburuk.
Dalam ucapannya pada sesi khas Perhimpunan Agung PBB, Maduro menggesa supaya sokongan diberi ketika di tengah-tengah pandemik global.
Jelasnya, beberapa negara berkuasa di bahagian utara benua masih mempolitikkan pandemik ini.
Ia termasuk tindakan beberapa negara yang mengambil peluang untuk mengutamakan kepentingan ekonomi masing-masing.
Beliau mendakwa lebih USD40 bilion ditahan daripada memasuki Venezuela akibat sekatan AS.
“Kita telah menyaksikan (rundingan) pelbagai hala adalah jawapannya. Ia perlu diselaraskan.
“Kita menyaksikan solidariti dan kerjasama perlu, sekali lagi, memainkan peranan seperti mana hubungan antarabangsa antara negara dapat dijalinkan dahulu.
“Namun, kini ia dibayangi akibat unsur isolasi, ketuanan dan sikap mementingkan diri sendiri yang ditunjukkan oleh beberapa minoriti berkuasa, yang bagi golongan elit, menentukan polisi dari negara-negara paling berkuasa,” tegasnya.
Maduro menggesa supaya sekatan tersebut ditamatkan, sambil menyeru untuk masyarakat global bersatu atas prinsip rundingan pelbagai hala.
#PBB #Venezuela #ekonomi #Amerika Syarikat #pandemik #presiden #Nicolas Maduro