Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menyifatkan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) lebih mengejar kuasa dan kedudukan berbanding berjuang untuk rakyat.

Presidennya, Datuk Aibrahim Ali berkata kemelut antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali atas isu jawatan Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) membuktikan sikap sebenar pemimpin PKR.

“Ia seperti meludah ke muka sendiri. Jika dapat kuasa di peringkat pusat, pasti perebutan kuasa lebih hebat di antara PKR, DAP dan PAS.

"Kemelut seumpama ini tidak menjamin kestabilan politik dan keamanan negara. Ini baru jawatan Ahli Lembaga pengarah PKNS

“Jawatan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pendidikan pasti akan menjadi rebutan suatu hari nanti. Ini belum masuk lagi hal dasar dan ideologi masing-masing.

“Hakikat sebenarnya, Khalid curiga kepada Azmin yang bercita-cita mahu menjadi menteri besar. Azmin pula memang sudah lama memasang niat. Tambahan pula sebagai timbalan presiden, besar cita-citanya, bukan sekadar ahli lembaga pengarah PKNS,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ibrahim juga menegaskan apa yang berlaku di Selangor merupakan amaran awal bagi seluruh rakyat untuk melihat kegagalan pentadbiran PKR.

Sementara itu, PAS dan DAP Selangor mendesak supaya krisis antara Abdul Khalid dan Mohamed Azmin diselesaikan mengikut prosedur parti memandangkan kestabilan pentadbiran amat penting supaya rakyat Selangor tidak terjejas.

Pemimpin PAS dan DAP Selangor berkata, mereka hanya akan mencampuri urusan parti berkenaan apabila keadaan masih tidak berubah tanpa sebarang penyelesaian.