Krisis Rusia-Ukraine: Kejutan minyak 1973 bakal berulang?

Sinar Harian
Mac 9, 2022 23:40 MYT
Ketika krisis minyak kira-kira 49 tahun lalu, harga minyak dinaikkan sebanyak empat kali ganda sehingga mencetuskan kemelesetan di negara Barat selain inflasi yang tinggi. - Foto www.federalreservehistory.org
PARIS: Lonjakan harga bahan api yang disebabkan oleh kempen pencerobohan Rusia di Ukraine akan memberi kesan setanding dengan kejutan minyak pada 1973.
Kebimbangan disuarakan Menteri Ekonomi Perancis, Bruno Le Maire ketika persidangan di Paris pada Rabu.
"Kira-kira 49 tahun yang lalu, krisis minyak pada masa tersebut telah mengakibatkan kejutan inflasi selain bank pusat meningkatkan kadar mereka secara besar-besaran sehingga memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi. Ia digelar sebagai stagflasi yang seboleh-bolehnya mahu dielak pada 2022," ujarnya.
Difahamkan, kejutan minyak pada awal 1970-an itu berpunca daripada Perang Yom Kippur apabila Mesir dan Syria melancarkan operasi ketenteraan ke atas Israel.
Ketika itu, negara Arab terdiri daripada enam anggota Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengisytiharkan embargo eksport ke atas negara yang menyokong Tel Aviv terutama sekutu rapatnya, Amerika Syarikat (AS).
Mereka bertindak menaikkan harga minyak sebanyak empat kali ganda kepada AS$11.65 (RM49) setong sehingga mencetuskan kemelesetan di negara Barat selain inflasi yang tinggi.
Sejak awal minggu lalu, harga borong minyak mentah dan gas telah melonjak disebabkan kebimbangan bekalan susulan krisis semakin meruncing di Ukraine.
Tindakan melulu AS dan Britain mengumumkan untuk melarang import bahan api dari Rusia sebagai respons terhadap kempen serangan Rusia juga telah mencetuskan satu lagi lonjakan harga.
Harga minyak mentah penanda aras global, Brent meningkat sehingga hampir AS$130 (RM544) setong pada Rabu.
*Berita asal di Sinar Harian
#harga minyak #Lonjakan harga bahan api #krisis Rusia-Ukraine #bruno le maire