KUCHING: Sempena musim perayaan Hari Krismas yang akan disambut esok, pelbagai perkara perlu dipertimbangkan termasuk aspek keselamatan dan kesihatan penduduk di Sarawak.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching telah mula menjalankan penguatkuasaan Op Selamat bagi memantau perlakuan jenayah pada 22 Dis hingga 28 Dis ini.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa, operasi snap check juga dijalankan dalam usaha memantau kenderaan yang mencurigakan sepanjang tempoh perayaan.

Katanya, pemeriksaan serta rondaan polis trafik turut dikuatkuasakan di lokasi-lokasi tertentu bagi membendung kes jenayah di bandar raya Kuching.

"Operasi akan memfokuskan kepada penguatkuasaan undang-undang trafik dan pencegahan jenayah. Diharap ia dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan menurunkan kes jenayah indeks kita.

"Pihak trafik akan memberi tumpuan di laluan-laluan utama dan kawasan hotspot kemalangan.

"Begitu juga, rondaan cegah kemalangan dan penguatkuasaan lalu lintas, juga bersedia di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti," katanya. 

Tambah Merbin lagi, bagi memastikan tiada individu yang melanggar peraturan semasa ziarah rumah ke rumah, IPD Kuching menubuhkan empat pasukan melibatkan sembilan balai polis di setiap daerah di Kuching. 

Ia bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dalam usaha mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 semasa sambutan.

Bagi mereka yang meninggalkan rumah untuk ke kampung halaman pada musim perayaan ini, pihak polis menasihati untuk hubungi mereka supaya rondaan dapat dilaksanakan di lokasi tersebut.

Untuk rekod, sambutan rumah terbuka di dewan, gereja dan aktiviti caroling dari rumah ke rumah adalah tidak dibenarkan dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa 3 Sarawak semasa perayaan Krismas.