BEIJING: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan segelintir individu yang mengkritik lawatan rasmi beliau ke luar negara kerana didakwa gagal, sebagai 'berada di bawah tempurung'.

Tanpa mengambil endah mengenai kritikan tersebut, Perdana Menteri berkata pihak berkenaan perlu keluar daripada 'ruang sempit' untuk mendapatkan pandangan yang lebih luas.

"Ini tak apa lah... dia duduk di bilik... Macam katak bawah tempurung. Kalau buka (tempurung) itu baru nampak luas sikit. Kalau tak buka, dia nampak tempurung sahaja," katanya di sini pada Sabtu.

Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media bersama delegasi media Malaysia sempena lawatan rasmi empat hari ke China bermula 29 Mac lalu.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk pembangkang mengkritik lawatan Anwar dan delegasi ke Arab Saudi dengan mendakwa ia sebagai gagal.

Mengulas mengenai lawatan rasmi empat hari ke China, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata lawatan tersebut telah mendapat sambutan yang sangat hebat dan luar biasa.

"Tumpuan oleh pihak pimpinan China dan pengarahan yang mereka beri kepada syarikat-syarikat, tidak  mungkin kita capai RM170 bilion kalau tidak ada dukungan. Ini kerana sebahagian besar syarikat ini adalah syarikat kerajaan China.

"Jadi saya anggap ini satu perkembangan yang sangat positif dan kunjungan yang memberikan manfaat yang besar kepada rakyat Malaysia, dan malah puluhan ribu malah lebih akan memperoleh manfaat pekerjaan dan latihan daripada komitmen yang mereka berikan," ujarnya lagi.

Anwar menambah kedua-dua kerajaan antaranya turut bersetuju meningkatkan kerjasama termasuk pendidikan merangkumi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ini kata Perdana Menteri, termasuk kerjasama dalam bidang penyelidikan dengan Universiti Tsinghua di Malaysia.

"Saya bincang dengan presiden universiti bahawa dia sebut beberapa perkara yang boleh dilakukan segera ialah latihan termasuk diadakan di Kuala Lumpur sebelum mereka merencanakan (membuka kampus di Malaysia) kerana sebelum ini belum pernah ada dalam rencana.

"Dia bersedia untuk meneliti dan memikirkan. Tentunya presiden lebih tertarik kerana ini harapan daripada Presiden China, Xi Jinping sendiri," katanya lagi.

Beliau dalam masa yang sama berkata, sebanyak RM170.07 bilion potensi pelaburan direkodkan dalam satu lawatan ke China, dengan RM2.44 bilion melibatkan potensi eksport ke China.