TAPAH: Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memperkenalkan sistem kad pengenalan untuk mengelakkan pekerja asing yang berdaftar lari ke sektor pekerjaan lain.

Kad pengenalan mengikut sektor itu juga bagi mengelakkan majikan menyalah guna pendaftaran pekerja asing mereka bagi menjimatkan kos.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, berdasarkan prosedur sekarang, bayaran levi untuk pekerja asing di sektor pertanian adalah lebih murah berbanding sektor lain.


"Satu lagi masalah yang saya lihat, kalau kita mengikut bayaran levi untuk sektor pertanian adalah lebih murah, maka ramai majikan walaupun daripada sektor lain mereka membawa pekerja asing dengan saluran pertanian kerana mereka boleh bayar levi yang murah.

"Maka dengan memperkenalkan sistem kad pengenalan mengikut sektor kita mengatasi masalah ini. Ia akan memudahkan penguatkuasaan pihak berkuasa daripada imigresen dan PDRM," katanya.


Beliau ditemui selepas merasmikan karnival kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 Negeri Perak, anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Kompleks Sukan Tapah, di sini pada Ahad.


Hadir sama Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed.


Saravanan mengakui kenaikan harga kelapa sawit, telah menyebabkan pemilik ladang kelapa sawit sanggup membayar gaji yang lebih berbanding sektor lain.


Ekoran itu, katanya, terdapat pekerja asing di sektor lain, seperti pembinaan, yang lari ke sektor perladangan atau mungkin dicuri oleh majikan sektor berkenaan.


Pada Jumaat, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata, upah kerja yang tinggi di ladang kelapa sawit turut menjejaskan tenaga kerja di sektor pembinaan.

Justeru itu, katanya, sektor pembinaan kini perlu melakukan sesuatu untuk memastikan pekerja mereka kekal.