Kumpulan Syarikat Albukhary telah berganding bahu melalui perniagaan masing-masing bagi membantu usaha memerangi COVID-19 di negara ini.

Albukhary berkata melalui hubungannya dengan pembuat kereta Zhejiang Geely Holding Group (Geely) (rakan strategik Proton Holdings Bhd), usaha tersebut dipertingkatkan lagi dalam mendapatkan peralatan perubatan yang amat diperlukan oleh hospital-hospital di Malaysia.

Usaha ini juga diselaraskan melalui Yayasan Amal Li Shufu (LSCF) dari China (Li Shufu merupakan pengasas Geely) untuk menyumbang bantuan kepada pelbagai pihak berkepentingan di negara ini.

Beberapa bantuan telah diedarkan semenjak minggu lepas, kata Albukhary, sambil menambah bantuan yang disampaikan mencecah lebih daripada RM15 juta termasuk tunai.

DRB-HICOM Bhd dan MMC Corporation Bhd mengetuai bantuan kumpulan dengan sumbangan wang tunai sebanyak RM2 juta kepada Tabung COVID-19 kerajaan, yang telah disampaikan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 24 Mac lepas.

"Selain itu, pelbagai syarikat dalam Kumpulan Albukhary telah tampil untuk menyediakan pelbagai bantuan, termasuk peralatan perubatan (ventilator, PPE dan pelbagai lagi) kepada Kementerian Kesihatan (KKM), serta makanan kepada hospital-hospital kerajaan, media dan pelajar universiti.

"Kumpulan juga meminjamkan SUV Proton X70 kepada KKM bagi mengangkut kakitangan penjagaan kesihatan dan pesawat dron kepada Angkatan Tentera Malaysia untuk tujuan pengawasan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

LSCF telah ditubuhkan pada 2006 oleh pengasas dan pengerusi Geely, Li Shufu.

Geely menjadi rakan strategik di PROTON pada 2018 apabila mereka memperoleh 49.9 peratus kepentingan daripada DRB-HICOM.

Di seluruh dunia, LSCF telah memberi peralatan perubatan ke Eropah untuk membantu perang melawan virus COVID-19.

Geely mempunyai kehadiran yang signifikan di Eropah melalui pemilikannya ke atas Volvo Cars di Sweden, pembuat kereta Lotus dan London Electric Vehicle Company di UK (atau lebih dikenali sebagai Teksi London).

"Untuk Malaysia, LSCF dan Geely sedang mencari sumber bagi menghantar ventilator kepada hospital-hospital di seluruh negara. Ventilator ini dijangka tiba pada pertengahan April, bersama dengan peralatan lain seperti pakaian pelindung perubatan, cermin mata perlindungan serta topeng muka perubatan," kata kenyataan itu lagi.

-- BERNAMA