ALOR SETAR: Terkesan dengan tugasan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menangani  wabak  COVID-19 di negeri Kedah, Kumpulan Bina Darulaman  Berhad (BDB) menerusi  inisiatif  tanggungjawab sosial  korporat  (CSR) telah menyalurkan  sumbangan peralatan perubatan bernilai RM81,000 kepada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Komunikasi Korporat  Kumpulan BDB dalam satu kenyataan berkata, sumbangan tersebut melibatkan 10 buah Infusion Pump dan juga 10 buah Syringe Pump yang mana merupakan peralatan yang amat diperlukan di Unit Rawatan Rapi HSB pada ketika ini.

“Kumpulan BDB memandang serius situasi semasa pandemik COVID-19 di negeri Kedah dan pihak  syarikat  terpanggil  untuk  turut  serta membantu  meringankan  beban  petugas  barisan hadapan yang sedang merawat dan menyelamatkan nyawa rakyat di negeri ini.

“Ini merupakan antara inisiatif Kumpulan BDB bagi membantu para petugas barisan hadapan. Adalah diharap agar dengan sumbangan peralatan perubatan ini, maka ia sedikit-sebanyak dapat membantu dan meringankan beban pihak hospital,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Sumbangan  peralatan  perubatan berkenaan telah diserahkan kepada Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah, Dr. Zaiton Udin.

Untuk rekod, pada 2020 Kumpulan BDB turut  menyumbangkan lebih  RM180,000  dalam membantu petugas barisan hadapan dan juga kerajaan negeri dalam menangani  wabak COVID-19 di Kedah.

Sumbangan  tersebut  termasuklah  menyediakan juadah makanan dan juga pelitup muka kepada para petugas barisan hadapan di sekitar Daerah Kota Setar dan Kubang Pasu dan juga sumbangan kepada  golongan yang kurang berkemampuan melalui Kerajaan Negeri Kedah.

Tambah lagi, sebagai anak syarikat  Kerajaan Negeri Kedah, Kumpulan BDB akan terus bersama-sama  dalam membantu para petugas barisan hadapan dan juga kerajaan dalam menghadapi wabak pandemik COVID-19 yang masih menghantui negara.

“Para  petugas  barisan  hadapan  ketika  ini  sedang  berusaha sedaya-upaya  merawat  dan menangani  wabak  COVID-19 dengan sebaik mungkin dan mereka memerlukan sokongan seluruh rakyat untuk bersama-sama mengawal penularan wabak berkenaan.

“Untuk itu Kumpulan BDB menyeru seluruh rakyat negeri Kedah khasnya dan Malaysia amnya untuk  bersama-sama mematuhi  Prosedur  Operasi  Standardy ang  ditetapkan  oleh  Majlis Keselamatan Negara dalam usaha melandaikan lengkung kes jangkitan COVID-19 di negara ini,” jelas Komunikasi Korporat Kumpulan BDB.