Kegiatan kumpulan yang dikenali sebagai “Geng Che Mi” yang aktif dalam kegiatan curi kenderaan di tiga negeri Kedah, Pulau Pinang dan Pahang akhirnya tumpas.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Yusof Shaari, taktik Geng Che Mi ini bermula dengan melakukan pecah rumah sebelum bertindak melarikan kenderaan yang ada di hadapan rumah.

Katanya, ketiga-tiga suspek ditahan pada 1 Julai lalu oleh sepasukan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kulim menerusi dua serbuan berasingan.

Serbuan pertama di Sungai Petani, polis menahan dua lelaki bersama sebuah pacuan empat roda (4WD) jenis Pajero.

Semakan mendapati Pajero itu dilaporkan hilang di Kulim hasil soal siasat ke atas dua suspek, polis telah menyerbu sebuah rumah di SP Height, Sungai Petani dan menahan seorang lelaki.

"Kita akan membuat soal siasat yang selanjutnya dan kita percaya akan membuat lebih kejayaan dalam menyelesaikan beberapa kes lagi jadi kes-kes yang terlibat bagi lapan kenderaan tersebut ialah di Pulau Pinang, satu Pahang, satu Sungai Petani, dan selainnya empat di Kulim," katanya.

Hasil tangkapan dan serbuan, polis telah menemui semula empat kereta jenis Mitsubishi Lancer, Honda Civic EJ, Honda Civic Ferio dan Mitsubishi Pajero.

Turut ditemukan empat motosikal jenis BMW R1200, dua Yamaha 125Z, dan Vespa di sekitar Kulim, Pulau Pinang dan Pahang.

Semua kenderaan itu dianggarkan bernilai RM240,000.

Polis turut menemui sebuah beg silang hitam yang didalamnya mengandungi peralatan pecah rumah dan curi kenderaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan 457 Kanun Keseksaan.

Ketiga-tiga suspek berusia 28 hingga 35 tahun.

Dalam perkembangan lain, Polis Kulim turut berjaya menyelesaikan dua kes iaitu kes samun dan curi barangan kilang dalam tempoh 24 jam selepas kes berlaku.

Dalam kes samun, polis menahan dua lelaki berusia 18 tahun kerana melakukan samun barang kemas ke atas seorang wanita pada 1 Julai.

Selain itu, polis juga berjaya menahan tiga lelaki berusia 33 hingga 72 tahun kerana terbabit dalam kes mencuri barangan kilang.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 395 KK dan 380 KK.

Kesemua suspek telah direman bermula hari ini bagi membantu siasatan.