KUALA LUMPUR: Kumpulan pertama dijangka menerima tablet program PerantiSiswa Keluarga Malaysia pada minggu kedua Jun ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata bagaimanapun tempoh berkenaan bergantung kepada proses 'delivery' pembida-pembida yang dipilih.

"Roll out pertama ini kita rancang selepas 30 hari dari tarikh permohonan, dan proses roll out kedua pula ialah pada Ogos iaitu 60 hari selepas proses permohonan bagi mereka yang membuat permohonan lewat dan bagi kes-kes rayuan," katanya dalam program Inklusif di saluran TV1 terbitan RTM malam ini.

Permohonan bagi program PerantiSiswa telah dibuka mulai 15 April lepas dengan peruntukan RM450 juta membabitkan tempahan 350,000 unit peranti.

Mengulas lanjut Annuar berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah memuktamadkan bahawa peranti itu berbentuk tablet yang hadir lengkap dengan aksesori termasuk papan kekunci.

"Berdasarkan nasihat daripada jawatankuasa termasuk EPU (Unit Perancang Ekonomi), kita juga telah lakukan 'trial' kepada sekumpulan pelajar dan mendapat maklum balas dari mereka, kita ambil keputusan dengan RM450 juta bajet yang ada, adalah lebih baik kita berikan tablet yang berkualiti tinggi berbanding laptop yang berkualiti rendah mengambil kira elemen kos," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata jenama dan pembekal bagi peranti program berkenaan akan diumumkan minggu depan, sambil mengulangi jaminan ia adalah jenama terkenal dalam pasaran dan bukan berkualiti rendah.

Kira-kira 350,000 pelajar golongan B40 di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), politeknik serta kolej komuniti bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), layak memohon inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia.

Peranti itu bakal dimanfaatkan mereka yang sedang mengikuti pengajian peringkat diploma, diploma lanjutan serta ijazah sarjana muda.

-- BERNAMA