Prestasi kutipan zakat di Pahang bagi tahun ini masih berada di landasan yang baik dan menunjukkan peningkatan walaupun dalam situasi pandemik wabak COVID-19, titah Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.

Tengku Hassanal yang merupakan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bertitah setakat 31 Ogos lepas, seramai 81,104 pembayar zakat harta telah menunaikan kewajipan itu melibatkan jumlah RM81.4 juta, meningkat sebanyak 1.5 peratus untuk tempoh yang sama bagi tahun 2019.

"Penyumbang terbesar bagi kutipan zakat adalah daripada sektor potongan gaji iaitu sebanyak RM41.1 juta dan bayaran daripada badan korporat serta sektor perniagaan.

"Insya-Allah, Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang dengan sokongan orang ramai dan badan korporat, dijangka berjaya mencapai sasaran kutipan sebanyak RM150 juta dan pembayar seramai 95,000 orang bagi tahun ini," titah baginda menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tengku Hassanal bertitah peningkatan jumlah kutipan zakat itu juga membolehkan lebih ramai asnaf dibantu menerusi agihan yang dilaksanakan oleh MUIP.

PKZ juga, titah Tengku Hassanal akan terus komited melaksanakan program Wajib Taksir Zakat dengan menghantar borang taksiran zakat pendapatan kepada 30,361 kakitangan berjawatan tetap yang berkhidmat di Pahang.

Pada hari ini, Tengku Hassanal juga berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM12.83 juta daripada lapan institusi dan syarikat korporat pada majlis yang berlangsung di Istana Abdulaziz di sini.

Lembaga Tabung Haji menjadi pembayar zakat tertinggi iaitu RM4.71 juta diikuti Pertubuhan Peladang Kebangsaan (RM3.10 juta), Tenaga Nasional Berhad (RM2.36 juta), Kumpulan Bank Rakyat (RM1.03 juta) dan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (RM834,000).

Badan korporat lain yang menunaikan zakat perniagaan mereka ialah Bank Islam Malaysia Berhad (RM365,000), QSR Brands Malaysia Holdings Berhad (RM259,027) dan Bank Muamalat Malaysia Berhad (RM160,577).

-- BERNAMA