Malaysia memberi keyakinan penuh kepada Kuwait sebagai orang tengah dalam menyelesaikan konflik dalaman antara Qatar dan Negara-Negara Teluk.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata keyakinan kerajaan seiring ketetapan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang mana Kuwait dilihat mampu memainkan peranan dalam meredakan ketegangan di antara negara berkenaan.

"Usaha untuk memastikan pendamaian telah dikenal pasti yang mana Kuwait mampu memainkan peranan selain Turki dan Amerika Syarikat bersedia untuk membantu ke arah itu (pendamaian) memandangkan isu krisis di Qatar bukan mudah serta cukup kompleks.

“Kita kena beri peluang kepada Kuwait untuk meredakan ketegangan antara Negara-Negara Teluk ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idrin (BN-Jerantut) yang meminta kementerian menyatakan apakah kesan lawatan Emir Qatar ke Malaysia daripada segi hubungan dua hala dan kesannya terhadap Malaysi dengan negara-negara Liga Arab yang berselisih dengan negara Qatar termasuk Arab Saudi.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata setakat ini hubungan Malaysia dengan negara-negara Liga Arab lain tidak terjejas berikutan hubungan baik kerajaan dengan Qatar.

"Hubungan Malaysia dengan Qatar bukan hubungan baharu, ia sudah terjalin sejak sekian lama. Hubungan ini melibatkan hubungan perdagangan dan ekonomi dua negara yang sudah mencecah 43 tahun," katanya.