KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan yakin Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dapat mengembangkan saiz dana dengan jumlah kasar sebanyak RM200 bilion menjelang 2025 susulan pelancaran inisiatif TERAS 5 pada Rabu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut yakin KWAP mampu meningkatkan jumlah aset harta daripada 17 kepada lebih 30 serta mempunyai lebih 35 subsidiari dalam tempoh sama.

Menurutnya, pelan seperti TERAS 5 akan memastikan organisasi itu bersedia mencapai visi baharunya untuk menjadi dana persaraan yang menyokong pembangunan negara dan terus memberi manfaat kepada ahlinya.

“Saya difahamkan TERAS 5 ini akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun dari 2022 hingga 2024. Inisiatif ini akan memacu transformasi KWAP kepada sebuah organisasi yang tangkas.

“Ia juga akan meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi KWAP untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pesara serta membentuk ekosistem pencen yang lebih dinamik.

“Saya yakin bahawa KWAP telah mengambil tindakan yang tepat pada masanya untuk melancarkan TERAS 5.

“Ini sememangnya sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk mengoptimumkan kekuatan GLIC sekali gus mengukuhkan ekonomi Malaysia dan melindungi keperluan fiskal semasa dan masa depan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Pelan Transformasi KWAP di sini pada Rabu yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi KWAP, Datuk Seri Asri Hamidon.

TERAS 5 merupakan sebahagian daripada pelan dasar jangka panjang bagi menambah saiz dana dengan lebih berkesan dan kekal mampan dan berasaskan lima tunggak utama iaitu Struktur, Tadbir Urus, Modal Insan, Proses dan Digital.

Lapan tunggak itu pula akan memacu lapan aliran kerja termasuk Struktur Organisasi, Syarikat, Pelaburan, Sumbangan & Perkhidmatan Persaraan, Digital, Modal Insan & Budaya, Perkhidmatan Korporat serta Risiko, Tadbir Urus dan Pengawasan.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata KWAP selama ini telah memenuhi dan menjangkaui mandatnya dalam ekosistem persaraan di Malaysia sebagai penyampai perkhidmatan kerajaan kepada pesara.

“Sejak ditubuhkan pada 2007, KWAP telah berkembang maju sebagai sekumpulan syarikat yang telah meluaskan portfolio pelaburannya sebanyak tiga kali ganda dari dana bernilai 9 bilion ringgit pada 2007 kepada sekitar 159 bilion ringgit pada hari ini.

“Selain daripada menguruskan dana persaraan, KWAP turut dilantik oleh Kerajaan sebagai ejen untuk melaksanakan perkhidmatan pembayaran persaraan pada tahun 2015 dan telah mencapai skor tahap perkhidmatan sebanyak 98 peratus pada tahun lalu.

“KWAP kekal fokus dalam memainkan peranannya sebagai rakan persaraan bagi pihak Kerajaan dan juga pesara, membantu bakal pesara untuk membuat persiapan bagi menempuh alam persaraan,” ujarnya.