KUALA LUMPUR: Labur RM250 dapat pulangan AS$200 juta, labur RM1,000 dapat AS$3 bilion. Itu janji manis satu sindiket skim pelaburan cepat kaya mampu memperdaya ramai mangsa di seluruh negara.

Pengerusi Pertubuhan Jaringan Sahabat Malaysia (JSM), Mohd Radzi Abdul Rahman berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati, sindiket berkenaan dipercayai beroperasi seawal tahun 2001, memperdaya sekitar 100,000 mangsa dari pelbagai latar belakang.

Menurutnya, ahli sindiket akan dibahagi dan bergerak dalam kumpulan kecil dengan cara menawarkan pelbagai jenis pakej pelaburan dengan pulangan yang lumayan menerusi grup WhatsApp.

"Mangsa-mangsa ini telah membuat pelaburan dalam jangka masa panjang menerusi pakej yang ditawarkan menerusi WhatsApp malah ada antara mereka yang telah melabur sejak tahun 2015.

"Demi meyakinkan mangsa, sindiket berkenaan menggunakan dokumen palsu dan mengaku kononnya pelaburan berkenaan mendapat sokongan pelbagai agensi antaranya Bank Negara Malaysia (BNM), dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) malah Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul selepas selesai membuat laporan bersama sekitar 40 mangsa di sini pada Sabtu.

Mohd Radzi berkata, selepas menerima ratusan aduan daripada mangsa terbabit, pihaknya telah bertemu dengan pihak pengurusan tertinggi pelaburan berkenaan yang diuruskan oleh seorang ahli perniagaan tempatan.

Mohd Radzi menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Sentul pada Sabtu.



"Jelas mereka (sindiket) gagal memberikan bukti sahih serta tiada sebarang dokumentasi sah. Lebih parah apabila kami menemui banyak dokumen palsu dan pelbagai helah digunakan bagi menutup perbuatan mereka.

"Malah ketika dihubungi, pihak BNM turut mengesahkan dana pelaburan berkenaan adalah palsu atau sesuatu yang berunsur penipuan, pihak kedutaan juga menafikan pembabitan mereka dengan pelaburan itu," jelasnya.

Katanya, mangsa berkenaan terdiri daripada pelbagai latar belakang daripada orang-orang kampung sehingga golongan professional dan penjawat awam turut diperdaya.

"Berdasarkan aduan yang kami terima ada yang rugi mencecah RM1.5 juta. Banyak aduan telah dibuat di seluruh negara tetapi kebanyakan buat secara perseorangan.

"Kebanyakan mangsa ini masuk melalui WhatsApp sahaja menyukarkan siasatan kerana tiada dokumen yang mengesahkan mereka ini sebagai ahli pelaburan berkenaan," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Radzi menggesa pihak berkuasa supaya segera mengambil tindakan terhadap sindiket berkenaan bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa.

"Kami dah serahkan segala bukti-bukti dari hasil siasatan kami sendiri jadi kami berharap tindakan dapat diambil oleh pihak polis dan agensi-agensi berkaitan," ujar beliau.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.